Kebersihan antara faktor peniaga kecil dipindahkan - Utusan Malaysia

Kebersihan antara faktor peniaga kecil dipindahkan

SANDREA Ng berucap pada Program Sejahtera Warga Emas Komuniti Mesra Usia di UTC Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Faktor kebersihan menjadi antara sebab lebih 40 peniaga kecil yang menjual makanan secara ‘but kereta’ atau carbooth di hadapan bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dipindahkan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching menjelaskan, aspek kebersihan akan menjadi penekanan setiap kali terdapatnya penjualan makanan selain faktor keselamatan seperti kesesakan lalu lintas.

Jelasnya, sejak awal tahun ini pihak berkuasa tempatan telah menerima pelbagai aduan mengenai aktiviti penjualan yang dijalankan, namun cuba membuat pengawalan dari segi pemantauan serta perbincangan.

“Cuma kebelakangan ini apabila terdapat penjualan makanan yang tular, ia menyebabkan berlaku peningkatan bilangan penjaja dalam tempoh singkat.

“Ini menjadi kerisauan apabila kita masih benarkan untuk perniagaan di situ. Bilangan akan terus meningkat sehingga susah hendak mengawal keselamatan dan kebersihan,” katanya dalam sidang akhbar semasa menghadiri Program Sejahtera Warga Emas di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kumpulan peniaga kecil di Dataran Ipoh di sini merayu supaya tapak mereka berniaga ketika ini dikekalkan dan tidak dipindahkan ke tapak baharu seperti yang diarahkan MBI.

Pengerusi Persatuan Carbooth Dataran MBI, Elham Mifzal Ellias, 30, berkata, lokasi perniagaan baharu iaitu di MBI Terrace, tidak jauh dari lokasi sedia ada, disifatkan tidak strategik dan akan menjejaskan perniagaan mereka.

Mereka terdiri daripada 80 peniaga Carbooth Dataran MBI di sini yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan terutama makanan dan minuman viral di lot parkir yang dijadikan sebagai tapak perniagaan. Mereka diarah supaya berpindah ke lokasi baharu selewat-lewatnya sebelum 21 Di­sember ini.

Pada masa sama, Sandrea berkata, pihak Kerajaan Negeri sentiasa mencari jalan menang-menang untuk membolehkan kesemua peniaga terbabit dapat membuka perniagaan di tempat lain khususnya baki mereka yang tidak mendapat tempat di lokasi baharu.

“Kita akan cuba sebaik mungkin dari segi penyususanan tempat dan publisiti bagaimana untuk memastikan pelanggan yang sedia ada akan tetap pergi ke tempat baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya