KUALA TERENGGANU: Sebanyak 559 kes melibatkan pelbagai kesalahan direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu bagi tempoh 1 Januari hingga semalam.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd. Kia berkata, ia melibatkan nilai rampasan hampir RM4 juta serta kutipan kompaun sebanyak RM268,200.
Katanya, daripada 599 kes itu, kesalahan tertinggi melibatkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu sebanyak 218 kes, diikuti Akta Timbang dan Sukat 1972 sebanyak 214 kes.
“Selain itu, 70 kes adalah kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perlindungan Pengguna 1999 pula sebanyak 45 kes dan Akta Cap Dagangan (enam kes). Kita juga mengesan lima kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 ialah satu kes,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman di Mayang Mall di sini hari ini.
Menurut Saharuddin, sebanyak dua kes pula telah disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman denda berjumlah RM102,500 masing-masing di bawah Akta Kawalan Bekalan 1962 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Katanya, semua 559 kesalahan itu dikesan hasil 48,687 pemeriksaan yang dijalankan di 21,103 bilangan premis seluruh Terengganu pada tahun ini.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 18,626 pemeriksaan dijalankan di Kuala Terengganu, Dungun (10,826), Besut (8,781), Kemaman (5,994) dan Hulu Terengganu (4,470),” katanya. –utusan