PETALING JAYA: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) berjaya menumpaskan pelbagai jenayah di seluruh negara termasuk penyeludupan haiwan dengan nilai rampasan sebanyak RM960.1 juta dalam siri operasi sepanjang 2024.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lebih 50 peratus nilai tangkapan terbabit hasil membabitkan usaha dilakukan Cawangan Perisikan Siasatan Khas/Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB) dengan rampasan lebih RM434 juta.
“Cawangan tersebut telah berjaya menyelesaikan 136 kes dengan 387 tangkapan dan ia merupakan kejayaan yang dilakarkan melalui Op Bersepadu Khazah, Op Tiris, Op Kontraban, Op E-Waste dan banyak lagi.
“Selain itu, cawangan itu juga turut bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bertujuan meningkatkan kapasiti penguatkuasaan dalam membanteras jenayah hidupan liar serta pemuliharaan spesies haiwan ikonik tempatan,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Bulan Disember 2024 anjuran KDNKA.
Tambah beliau, Pasukan Gerakan Am (PGA) turut memberi impak positif menerusi pelbagai kategori tangkapan dan rampasan dengan jumlah keberhasilan bernilai lebih RM279 juta.
“Di samping itu, Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) juga telah melaksanakan 34 serbuan dengan 76 tangkapan dan nilai rampasan berjumlah RM37.1 juta,” katanya.
Menurutnya, Pasukan Polis Marin (PPM) juga berjaya menumpaskan 7,103 kes jenayah di perairan negara melibatkan pelbagai kesalahan antaranya aktiviti pembalakan tidak sah, penyeludupan barang kawalan, dadah, hidupan liar dengan nilai rampasan dan saman berjumlah RM210 juta.
“KDNKA tekad dalam mempertahankan keamanan dan keselamatan negara dari sebarang aktiviti penyeludupan, kontraban, ancaman keganasan, krisis bencana, kacau ganggu awam dan keselamatan pintu masuk utama negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada 51 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dianugerahkan Sijil Tolak Rasuah PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
“Lebih membanggakan, 11 orang daripada jumlah tersebut merupakan penerima Sijil Tolak Rasuah SPRM.
“Selain itu, tindakan PGA menolak sogokan RM50,000 dari sindiket penyeludupan migran semasa bertugas Op Wawasan Taring di Kelantan menjadi satu kebanggaan,” katanya. – UTUSAN