PASIR MAS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumpul sebanyak 55,000 naskhah al-Quran yang rosak akibat banjir di tiga negeri terjejas teruk iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalannya, Nik Yusaimi Yussof berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 25,000 naskhah al-Quran rosak akibat banjir di Kelantan telah dikumpulkan sehingga hari ini.
“Kita menjangkakan banyak lagi naskhah al-Quran yang rosak akan diserahkan ke pusat-pusat pengumpulan sebagaimana telah ditetapkan. Untuk Kelantan sahaja dijangkakan mencecah lebih 100,000 naskhah.
“Bagaimanapun kita tidak boleh memberi anggaran keseluruhan untuk seluruh negara kerana musim tengkujuh belum berakhir dan proses pengumpulan masih berjalan,” katanya kepada pemberita semasa Program Jom Exchange (JEQ) di Masjid Taman Maka Utama, di sini hari ini.
Nik Yusaimi berkata, usaha pengumpulan al-Quran terjejas banjir yang dilaksanakan oleh Skuad Ihsan Madani Pasukan JK KDN yang ditubuhkan di bawah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan dimulakan sejak 4 Disember lalu dan berterusan sehingga berakhirnya musim tengkujuh.
“Istimewanya melalui program ini, kita menggantikan al-Quran rosak akibat banjir dengan mushaf-mushaf baharu secara token dan untuk hari ini kita membawa 150 naskhah al-Quran yang dihibahkan oleh komuniti serta badan-badan tertentu kepada KDN.
“Al-Quran rosak akibat banjir yang dikumpulkan akan dimuliakan mengikut syarak. Ada dua kaedah utama yang mungkin digunakan iaitu diproses menjadi abu sebelum dilepaskan di laut atau proses deinking,” ujarnya. – UTUSAN