PUTRAJAYA: Seramai 1,672 orang pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada kontinjen telah digerakkan bagi membantu operasi banjir setakat hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, operasi tersebut turut melibatkan 230 aset kenderaan dan peralatan kecemasan PDRM termasuk 68 buah bot, 152 buah kenderaan pacuan empat roda, 51 buah lori, 15 buah kereta peronda, 13 buah van, dan sebuah helikopter.
Katanya, selain itu, seramai 818 orang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) telah ditugaskan untuk membantu mangsa banjir di kawasan yang terlibat serta di 706 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selain membantu PDRM dalam pasukan rondaan komuniti di kawasan terlibat banjir.
“KDN dan agensi di bawahnya sentiasa cakna dan prihatin dengan situasi semasa musibah banjir yang melanda negara ketika ini dan akan sedaya- upaya memberikan bantuan berkewajaran dari segi tenaga, logistik, aset, dan seumpamanya, bagi memastikan mangsa banjir disantuni sewajarnya.
“KDN menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca semasa dan perkembangan terkini bencana banjir dengan mengambil langkah berjaga-jaga serta peka dengan pengumuman semasa yang sahih melalui pihak berkuasa di samping media massa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Saifuddin turut memaklumkan, Skuad Ihsan MADANI KDN juga telah bersiap siaga untuk bantuan pasca banjir yang akan membantu mangsa-mangsa banjir.
Katanya, agensi KDN yang lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Penjara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia akan terlibat dengan Skuad Ihsan Madani KDN bagi menyalurkan bantuan dan mengaturkan gerak kerja pembersihan pasca banjir melalui Skuad Ihsan Madani di daerah-daerah seluruh negara yang terkesan.
“KDN juga ingin memberikan jaminan bahawa keselamatan harta benda mangsa-mangsa banjir sentiasa dipantau. Bagi mangsa banjir yang terkesan dengan kemusnahan dokumen-dokumen penting seperti kad pengenalan, sijil lahir dan pasport, JPN dan JIM akan menyediakan perkhidmatan penggantian dokumen-dokumen tersebut secara percuma kepada semua mangsa banjir.
“Perkhidmatan penggantian dokumen penting oleh JPN akan turut disediakan, melalui bas bergerak (mobile bus) di kawasan-kawasan yang terkesan,” ujarnya lagi.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan penyelamatan mangsa-mangsa banjir serta sentiasa merujuk maklumat dan perkembangan cuaca terkini yang dapat diperoleh menerusi media sosial Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA), aplikasi myCuaca, dan talian penting (Hotline) MET Malaysia menerusi talian 1-300-22-1638 di samping menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM menerusi talian 03-22663333 / 03-22663444 / 03-22663451 atau menghubungi talian MERS 999 untuk bantuan kecemasan. – UTUSAN