PETALING JAYA: Kerajaan dicadang mewujudkan akta berkaitan plastik yang boleh mendorong kepada penggunaan hampir sifar peratus, bagi mengawal pencemaran alam sekitar.
Setiausaha Kehormat Sahabat Alam Malaysia (SAM), Mageswari Sangaralingam berkata, peraturan bagi pengendalian plastik haruslah merangkumi dari segi pembuatan, penggunaan dan pembuangan sisa tersebut.
Menurutnya, penggunaan plastik sama ada daripada industri pengeluaran dan kegunaan orang ramai semakin membimbangkan, ekoran sisa plastik yang terbuang berakhir di perairan atau lautan.
“Malaysia mencatat penggunaan plastik pembungkusan per kapita tertinggi di Asia, iaitu sekitar 16.8 kg bagi seorang, setiap tahun.
“Oleh itu, undang-undang plastik akan datang harus merangkumi pelbagai langkah untuk mengurangkan pembuatan, penggunaan dan seterusnya pencemaran plastik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, kerajaan memaklum keperluan untuk mewujudkan akta berkaitan plastik secara menyeluruh sedang dalam proses penelitian.
Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian, Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, kajian tersebut adalah penting kerana dasar plastik negara yang sedia ada tidak seragam.
Mageswari berkata, ini termasuk larangan dan sekatan contohnya melarang pengeluaran, penjualan atau penggunaan plastik sekali guna.
Jelas beliau, kerajaan perlu melaksana larangan penggunaan plastik sekali pakai seperti beg plastik, sedotan, dan peralatan plastik untuk diguna makan dan minum secara bertahap.
“Keutamaan dalam larangan ini perlu kenalpasti plastik yang boleh dielakkan, tidak perlu, serta berbahaya terhadap alam sekitar.
“Larangan juga perlu dikenakan untuk menghapuskan plastik toksik serta bahan kimia yang membimbangkan secara berperingkat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan perundangan tersebut dapat mempertimbangkan pengenaan cukai untuk menghalang pengeluaran atau penggunaan plastic sekali guna.
Katanya, bagi memastikan ketelusan perundangan juga harus mewajibkan pengilang mendedahkan bahan kimia dalam produk plastik mereka.
Sehubungan itu, Mageswari berharap kerajaan agar melibatkan perbincangan bersama dengan dengan semua pihak termasuk, NGO alam sekitar, pemain industri dan orang awam ketika masih dalam proses untuk mewujudkan akta baharu itu. – UTUSAN