KUALA LUMPUR: Sirih Bertepuk, Pinang Menari sebuah karya agung Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan sekali lagi diangkat menerusi teater yang dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Teater itu merupakan inisiatif MOTAC menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang bertujuan untuk mengangkat dan memartabatkan karya-karya agung tanah air.
Pementasan pada hari kedua iaitu Sabtu lalu dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot, Sasterawan Negara ke-10 Datuk Dr. Anwar Ridhwan serta Sasterawan Negara ke-15, Datuk Rahman Shaari.
Dr. Marlenny Deenerwan selaku pengarah teater tersebut meluahkan rasa syukur atas kesudian Anwar dan beberapa kenamaan meluangkan masa menonton pementasan itu.
“Kita semua maklum bahawa Anwar merupakan orang sastera yang menyokong karya-karya seperti ini. Kehadiran beliau cukup bermakna buat seluruh tenaga produksi pementasan ini.
“Dalam masa sama, kedatangan beliau, bersama kenamaan yang lain telah menyuntik semangat dan motivasi untuk kami memberikan persembahan terbaik selama tiga hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sirih Bertepuk, Pinang Menari mengisahkan Sultan Idris Bistari yang berlayar ke luar negeri dan menyerahkan kuasa pemerintahan Indera Mahkota kepada anakandanya, Putera Zahiruddin Shah.
Kata Dr. Marlenny lagi, bukan mudah menghidupkan karya seorang tokoh eksperimentalisme pertama di Malaysia yang menulis dengan gaya tersendiri.
“Karya Datuk Noordin ini banyak ‘lapisan’. Beliau bukan penulis realisme, yang menulis drama-drama ruang tamu atau kronologi.
“Beliau ada gaya penulisan tersendiri yang bersifat eksperimental. Jadi pada saya, cabarannya sudah menunggu di situ,” katanya lagi.
Pementasan yang berlangsung tiga hari bermula Jumaat lepas itu dihidupkan 22 pelakon termasuk Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Jay Iswazir, Akmal Ahmad, Farhana Fahizam, Eliza Mustafa, Azman Hassan, Haf Dzi Sofi dan Shasha Fairus.