PETALING JAYA: Lebih 100 usahawan daripada pelbagai bidang menyertai Karnival Pemerkasaan Ekonomi 2024 bertempat di UTM Hotel & Residensi baru-baru ini.
Ketua Operasi Khalifah World Global Sdn. Bhd., Sharifah Anizah Al Hady berkata, penganjuran acara itu bertujuan memperkasa sektor ekonomi perusahaan kecil dan sederhana (IKS).
Selain itu katanya, penganjuran karnival itu juga dapat meningkatkan sektor komuniti digital, membuka peluang pendidikan dan latihan kepada pelajar universiti.
“Kita turut memberi peluang kepada usahawan, golongan profesional dan masyarakat untuk meningkatkan pengetahuan, membina jaringan perniagaan serta menggali peluang ekonomi inovatif,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Selain menghimpunkan usahawan daripada pelbagai latar, pelbagai program turut diadakan dalam penganjuran karnival berkenaan antaranya derma darah, persembahan artis terkenal tanah air dan persembahan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU).
Sharifah Anizah juga berkata, karnival yang berlangsung selama tiga hari itu menyediakan bengkel mengenai pemasaran digital dan kecerdasan buatan (AI) yang akan memberi peluang kepada usahawan untuk memperkukuh kehadiran dalam talian, meningkatkan penglibatan pelanggan dan memanfaatkan teknologi AI dalam membuat keputusan yang lebih baik serta meningkatkan kecekapan operasi. – UTUSAN