BATU PAHAT: Sebuah kapal kargo yang didaftarkan atas nama Malaysia Star terbakar di kedudukan 9.1 batu nautika berhampiran Tanjung Labuh dekat sini, semalam.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, dalam kejadian pukul 8.40 pagi itu, kapal membawa 19 kru iaitu seorang warga tempatan dan 18 warga Filipina itu dalam perjalanan ke Kota Kinabalu, Sabah.
“Semua kru kapal berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan dan dipindahkan ke bot peronda Maritim Malaysia untuk dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk tindakan selanjutnya.
“Kerja-kerja pemadaman api masih giat dilakukan memandangkan tangki minyak
berada di bawah tempat kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohammad Zaini memberitahu, hingga kini tiada tumpahan minyak dilaporkan, namun pihaknya akan terus membuat pemantauan.
Beliau menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa peka tentang keselamatan di laut dan bersiap sedia dengan sebarang kejadian yang tidak diingini bagi mengelakkan kehilangan nyawa serta harta benda.-UTUSAN