Walaupun hidup dalam serba kesusahan hanya bersendikan survival hutan, namun di hati seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Tahan, Jerantut, Akop a/l Mua, 12, juga seorang kanak-kanak Orang Asli etnik Bateq tersimpan nilai kejujuran yang mungkin tidak wujud bagi segelintir orang lain.
Kejujuran itu dizahirkan oleh Akop apabila menemukan seutas rantai emas milik seorang sukarelawan Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) yang melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) semasa program membaikpulih kemudahan asas kepada seramai 30 keluarga Orang Asli etnik Bateq di Kampung Dedari, Kuala Tahan dekat ini.
Penjaga penduduk Orang Asli etnik Bateq Taman Negara yang juga Timbalan Penyelaras Nature Lifeguard Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), Sarjan (PA) Roslan Abu Kassim berkata, kanak-kanak Orang Asli itu telah menemukan seutas rantai emas di kawasan penempatan di situ ketika seramai 50 sukarelawan tersebut membina dan mengecat rumah penduduk di situ.
“Pada mulanya saya telah diberitahu oleh sukarelawan berkenaan mengenai kehilangan barang kemas ketika mereka membuat kerja pembinaan di sini dan cuba mencari bersama penduduk dan kanak-kanak Orang Asli ke serata setempat.
“Lebih kurang sejam, tiba-tiba muncul Akop menyerahkan barang kemas ini kepada saya yang ditemui terselit di bawah timbunan daun berdekatan rumah berkenaan. Saya terkejut dengan ketulusan dan kejujuran Akop lalu memeluk sambil memujinya,” katanya kepada Utusan Pelajar di Kampung Dedari dekat Taman Negara Kuala Tahan.
Menurut Roslan, dia terus membawa Akop menemui pemilik barang kemas tersebut yang bernama Atiqa Ilya Zakaria, iaitu salah seorang sukarelawan MMM Wilayah Timur yang menjalankan kerja mengecat premis bersama rakannya.
Katanya, peristiwa itu meruntun rasa terharu pemilik barang kemas itu di samping teruja dengan nilai kejujuran Akop yang juga seorang murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Tahan berdekatan Taman Negara.
Beliau berkata, semasa majlis perjumpaan bersama penduduk Orang Asli di situ, pemilik berkenaan, Atiqa Ilya terus memberikan sagu hati kepada Akop kerana kejujurannya menemukan serta mengembalikan barang kemas itu.
“Dia (Atiqa Ilya) dan rakannya sungguh terharu dengan sikap Akop dan berterima kasih di samping meminta kanak-kanak yang lain mencontohi rakannya,” katanya.
Roslan yang juga Pengerusi Birds Group Taman Negara (BGTN) menambah sikap jujur Akop menunjukkan keberkesanan hasil pendidikan anak Orang Asli etnik Bateq yang belajar secara formal di sekolah berdekatan.
Katanya, sukarelawan Nature Lifeguard APAM Taman Negara dan BGTN kerap turun membantu kebajikan penduduk Orang Asli di sekitar Taman Negara di samping menitip pendidikan menerusi
Kelas Rimba dan panduan adab serta akhlak ketika berdepan dengan pelancong yang melawat kampung tersebut.
Sementara itu, Akop berkata, dia menemukan seutas gelang di celah timbunan daun berdekatan sukarelawan wanita MMM yang sedang mengecat sebuah premis di situ.
“Saya bimbang hendak mengambilnya kerana bukan milik saya bahkan penduduk Orang Asli di sini tidak pernah memakai barang kemas. – UTUSAN