PARIT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemukan lemas dalam tali air di Parit 4 di sini hari ini.
Mangsa, Muhammad Ammar Razif Jamhari yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gajah itu dikatakan keluar bermain bersama rakan sebelum ditemukan lemas oleh orang awam.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, maklumat penemuan mangsa kira-kira 30 meter dari tebing tali air itu dilaporkan kepada polis pada pukul 5.45 petang.
Katanya, kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Bota Kiri namun pemeriksaan oleh pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seri Iskandar untuk bedah siasat dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat lemas,” katanya. – UTUSAN