IPOH: Bercita-cita untuk melakukan revolusi Islam antara pemikiran yang ditanam dalam kalangan kanak-kanak yang berjaya diselamatkan daripada pihak yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn. Bhd (GISBH).
Perkara itu dibongkar selepas kanak-kanak tersebut diuji membuat karangan bertajuk ‘Apakah cita-cita kamu’ semasa sesi kaunseling dan pemulihan yang dilaksanakan.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini melihat ia satu cabaran kepada agensi agama yang berkaitan untuk mengenalpasti punca dan kaedah susulan yang perlu dilakukan bagi membina kefahaman dalam masyarakat.
Beliau menyarankan sesi penerangan dan penjelasan mengenai GISBH perlu dilakukan oleh pihak berwajib kepada semua agar menjadi pengajaran dan tidak berulang.
“Saya menganggap mereka (pengikut ajaran) sebagai mangsa. Mereka bukannya penjenayah. Mereka menjadi mangsa kerana mereka tiada satu latar belakang yang kukuh tentang Islam.
“Pada saya, ini sebagai satu tamparan dan cabaran kepada agensi Islam sendiri mengapa begitu mudah orang boleh menembusi minda rakyat yang tiada daya tahan yang kuat.
“Sedangkan kita sudah ada pendidikan Islam bermula dari Darjah Satu di sekolah, tetapi masih ada orang yang boleh terpengaruh dengan ajaran yang menyimpang daripada Islam,” katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa menghadiri Program Khatan Pendalaman anjuran Pertubuhan Wanita Prihatin Perak (PWPP) di Kampung Chandak dekat sini hari ini.
Pada November lalu, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran yang dibawa Nasiruddin Mohd Ali daripada syarikat GISBH adalah sesat kerana mempunyai ciri-ciri menyeleweng daripada ajaran Islam.
Sementara itu menurut PWPP, program khatan itu melibatkan 18 anak-anak Orang Asli dan 34 anak asnaf, fakir miskin dan anak yatim.
Pertubuhan tersebut melihat langkah itu sebagai usaha bantuan kepada kanak-kanak dan keluarga terbabit memandangkan kos berkhatan kini mencecah RM230 hingga RM250 untuk seorang. – UTUSAN