BACHOK: Mayat seorang kanak-kanak lelaki yang lemas semasa mandi di Pantai Kandis di sini, petang semalam dijumpai terapung di pesisir pantai di Kampung Teko Ayer Merah, di sini selepas hampir 17 jam hilang.
Mayat Muhd. Naufal Arshad Muhd. Aiman Hafiz, 8, ditemukan seorang penduduk, Azmi Syairi Ismail, 39, pada pukul 11.15 pagi, iaitu kira-kira enam kilometer dari lokasi kanak-kanak itu dikhuatiri lemas.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, mayat mangsa dijumpai dengan berpakaian lengkap tanpa sebarang kecederaan.
Menurutnya, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian di sini untuk proses bedah siasat.
“Pengecaman mayat telah dibuat oleh ibu bapa mangsa selepas kanak-kanak itu dibawa ke darat,” katanya hari ini.
Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, ibu kepada kanak-kanak yang lemas semasa mandi di Pantai Kandis di sini petang semalam tergamam melihat anak lelakinya itu terkapai-kapai sebelum tenggelam dihanyutkan ombak. – UTUSAN