PETALING JAYA: Pelakon, Khatijah Tan, mendedahkan kebelakangan ini dia menolak banyak tawaran berlakon drama atau filem komedi.
Katanya, Tindakan itu bukanlah kerana bersikap pilih bulu, sebaliknya tidak dipadankan dengan pasangan pelakon yang berkebolehan untuk berjenaka.
“Saya bukan pelawak. Jadi kalau mahu berlakon naskhah komedi, saya perlukan pasangan pelakon yang boleh melawak seperti Allahyarham Zami Ismail (Pak Uda) atau Allahyarham Mat Busu (Mat Deris).
“Tapi disebabkan saya tidak dipasangkan dengan pelakon yang ada kebolehan itu, saya terpaksa tolak beberapa tawaran,” katanya pada malam gala filem Jangan Pandang Belakang 2, baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, kata Khatijah, pada usianya dia perlu mengutamakan tawaran lakonan yang betul-betul menarik minatnya.
“Insya-Allah, saya tak akan tolak tawaran berlakon cerita seram kerana saya minat dengan genre sedemikian.
“Cuma pada usia sekarang, kalau saya berlakon pun bukan sebab terpaksa, tetapi kerana saya minat,” kongsinya lagi.