Kalah enam undi, Ewon ganti Christina sebagai Pengerusi PH Sabah

Kalah enam undi, Ewon ganti Christina sebagai Pengerusi PH Sabah

EWON Benedick (tengah) semasa sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung PH Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick mengambil alih tugas sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah daripada Datuk Seri Christina Liew yang kalah enam undi.

Pemilihan Ewon sebagai Pengerusi PH Sabah yang baharu diputuskan dalam Mesyuarat Agung PH Sabah pada hari ini.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau menggalas tugas yang begitu besar dan mencabar dalam memimpin PH Sabah untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Beliau berkata, perubahan pucuk pimpinan PH itu akan dimaklumkan secara rasmi kepada pimpinan pusat.

“Perancangan pertama saya selaku Pengerusi PH Sabah adalah memanggil mesyuarat PH Sabah untuk membincangkan perkara yang lebih besar.

“Kita akan mengadakan mesyuarat pada bulan Disember ini bagi memastikan kita bukan hanya bersedia menghadapi PRN tetapi jentera kita, kerajaan Madani dapat membantu rakyat Sabah mendapatkan hak-hak pembangunan dan hak perlembagaan untuk masa depan yang lebih baik di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya selepas Mesyuarat Agung PH Sabah.

Beliau berkata, pemilihan pengerusi yang baharu berjalan lancar selaras dengan Perlembagaan PH. Adalah sesuatu yang normal apabila dilihat wakil-wakil parti keluar dan masuk semasa proses pemilihan.

“Itu perkara biasa. Dalam mesyuarat Jemaah Menteri pun, saya sendiri mengambil masa untuk menguruskan diri biarpun mesyuarat masih berjalan.

“Sudah tentu semasa mesyuarat agung berjalan, ada yang memerlukan perbincangan dan masa rehat. Saya fikir itu sesuatu yang normal dan Mesyuarat Agung PH berjalan dengan sangat lancar,” katanya.

Sementara itu, Christina berkata, beliau kalah dengan enam undi dalam proses pemilihan Pengerusi PH berkenaan. Namun, agenda seterusnya adalah mempersiapkan diri bagi menghadapi PRN Sabah.

“Pada tahun depan, kami perlu memberi fokus untuk menghadapi PRN. Kami akan bersatu untuk mendapatkan kemenangan yang lebih besar. Tempoh 12 bulan akan datang adalah masa yang sangat mencabar jadi, kami akan cuba melakukan yang lebih baik bagi meraih kemenangan,” katanya.

Christina mula memegang jawatan sebagai Pengerusi PH Sabah selama tujuh tahun bermula pada 2017 sehingga sekarang, setelah jawatan berkenaan diambil alih oleh Ewon. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya