PETALING JAYA: Penyanyi, Shila Amzah, meminta masyarakat agar tidak mudah tertipu dengan permainan individu kaki pukul.
Ujar Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 34, seorang kaki pukul atau pendera akan melakukan pelbagai cara untuk memastikan anda seolah-olah bergantung hidup kepadanya.
“Ada yang mahu bertahan hidup dengan seorang pendera kerana mereka sangka tidak ada jalan keluar.
“Pendera ini pandai, dia akan buat anda buang semua kawan-kawan, agar dapat bergantung hidup seratus peratus kepadanya.
“Katakanlah dia ‘sedar’ perbuatannya salah, dia akan melutut minta maaf sampai nangis-nangis dan layan anda macam puteri raja.
“Tapi bila datang ‘gila’, ketika itulah dia akan dera anda fizikal dan mental sekali lagi. Kitaran itu akan terus berulang,” tulisnya menerusi sebuah perkongsian di media sosial.
Penyanyi Patah Seribu itu juga menegaskan seorang pendera tidak akan berubah.
Lantaran itu, kata Shila, jika seseorang memiliki sejarah pernah memaki dan memukul orang yang disayang, itu adalah petanda besar untuk anda keluar daripada perhubungan tersebut.
“Saya sudah pernah katakan ini banyak kali, pendera tidak mungkin boleh berubah.
“Sama ada muka mereka kacak atau tidak, jangan biarkan anda dikaburi oleh fizikal mereka.
“Terutamanya jika anda tahu dia pernah ada sejarah dengan bekas kekasih, pukul atau maki sebelum berkahwin. Walaupun ketika itu dia hanya kekasih, larilah,” tambahnya.
Shila berkata demikian ketika mengulas sebuah video temu ramah yang dikongsikan bekas model, Zahnita, yang didakwa menjadi mangsa penderaan suaminya.
Zahnita bagaimanapun telah memfailkan permohonan cerai terhadap suami di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada Rabu. -UTUSAN