MELAKA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun terpaksa menahan sakit lebih 15 minit selepas kaki kanannya tersangkut dalam lubang tandas di rumahnya di Taman Tanjung Minyak Perdana di sini, hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Tangga Batu, Pegawai Bomba Kanan II (KUP) Roshdi Ismail berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 10.57 pagi.
Katanya, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi dan tiba di kediaman tersebut tujuh minit kemudian.
“Setibanya di lokasi kita dapati kaki kanan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun telah tersangkut dalam lubang tandas. Pasukan bomba Bertindak memecahkan mangkuk tandas bagi mengeluarkan kaki mangsa,” katanya.
Tambah Roshdi, mangsa mengalami kecederaan ringan pada kaki dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.30 tengah hari.