Kaka Azraff banyak bersendiri, anggap keluarga 'penyelamat' - Utusan Malaysia

Kaka Azraff banyak bersendiri, anggap keluarga ‘penyelamat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menyifatkan 2024 sebagai tahun yang mencabar, penyanyi, Kaka Azraff, mendedahkan lebih banyak menghabiskan masa sendirian ketika menghadapi detik sukar. 

Bukan itu sahaja, Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff bersyukur kerana mempunyai ahli keluarga yang saling memberikan semangat. 

“Saya banyak muhasabah diri, itu yang pertama saya buat. Saya ingat sudah kenal siapa diri saya, tapi sebenarnya setiap hari kita belajar sisi baru diri sendiri.

“Cara saya hadapi masa sukar ialah dengan banyak bersendiri selain berkumpul bersama keluarga. Alhamdulillah saya masih ada makcik-makcik saya seperti Jojie, Ella dan yang lain-lain. Mereka seperti ibu saya juga,” katanya.

Kaka ditemui di majlis pelancaran jenama pakaian Rockqueen  yang diusahakan ibu saudara yang juga penyanyi, Ella, di pusat beli belah Midvalley, baru-baru ini. 

Tidak berkongsi butiran perkara yang membuatnya sedih tahun ini, penyanyi Gila itu bagaimanapun merasakan ujian  tersebut membuatnya menjadi seorang wanita lebih kuat.

“Tahun 2024 mengajar saya banyak benda, ia membuka mata, membuka hati, dan juga banyak membuka rasa saya. Ia mengajar saya dari segi karier saya juga, sebagai anak yang kehilangan ibu, sebagai adik yang kehilangan kakak.

“Banyak sangat sebenarnya untuk tahun ini tapi ia juga menguatkan saya. Jadi untuk 2025 ini saya bersedia sebab cabaran tahun ini buat saya lebih bersedia untuk saya menempuh 2025 dengan lebih yakin, insya-Allah.

“Saya bersyukur untuk segalanya, alhamdulillah. Saya harap 2025 dapat memberikan satu lembaran yang baru dan segar, muka surat baru yang putih dan kosong, saya mahu warnakan dengan warna-warna yang menarik, cantik dan indah. Insya-Allah, bersama dengan anak-anak saya,” katanya. 

Terdahulu media melaporkan Kaka dan suaminya, Adam Azriff didakwa bercerai secara ekspres di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam pada 28 Oktober lalu.

Bagaimanapun, sehingga kini Kaka tidak memberi pengesahan perihal rumah tangganya itu.

Kaka dan Adam berumah tangga pada 14 Disember 2018 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aslan, Aryan, dan Atta Adam. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya