Kaji langkah tambahan terhadap penyedia platform media sosial - Utusan Malaysia

Kaji langkah tambahan terhadap penyedia platform media sosial

FAHMI Fadzil (tiga dari kiri) dan Saarani Mohamad (tiga dari kanan) menyaksikan pertukaran memorandum di antara MCMC and Digital Perak Corporation Holdings pada Majlis Perak Economic Outlook 2025 di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan akan mempertimbangkan langkah-langkah tambahan sekiranya penyedia platform media sosial di negara ini gagal menguatkuasakan had larangan umur pengguna di bawah usia 13 tahun.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan melihat keperluan itu berdasarkan kepada keseriusan penyedia platform-platform tersebut dalam menguatkuasakan peraturan yang mereka tetapkan.

“Bermula 1 Januari ini, semua platform yang mempunyai lapan juta pengguna atau lebih perlu berdaftar dan berlesen dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan kita mulakan dengan had umur yang setiap platform itu tentukan sendiri.

“Ketika ini, semua platform tentukan pengguna di bawah umur 13 tahun tidak boleh membuka akaun (media sosial). Jadi, kita mahu lihat bagaimana mereka menguatkuasakan had larangan umur itu berdasarkan apa yang mereka sendiri tetapkan.

“Jika gagal dan tidak memberangsangkan dari segi maklum balas atau tindakan mereka, kita akan mempertimbangkan langkah-langkah tambahan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Perak Economic Outlook 2025 yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Penasihat Kanan MCMC, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, kerajaan belum berhasrat untuk mengikut jejak langkah Australia bagi melarang penggunaan media sosial dalam kalangan individu di bawah usia 16 tahun.

Jelasnya, setakat ini tiada keperluan untuk menyekat akses terhadap golongan tersebut meskipun menerima pandangan pelbagai pihak termasuk menutup mana-mana akaun media sosial.

“Ada dalam kalangan ahli Parlimen sama ada di Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara yang memberi pandangan agar hadkan umur di bawah 16 tahun (tidak boleh) membuka akaun media sosial, malah ada yang cadang supaya tutup.

“Ini antara pandangan keras dalam kalangan ahli Parlimen kerana melihat masalah jenayah yang berlaku termasuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Bagaimanapun, kerajaan persekutuan waktu ini tidak mempunyai hasrat untuk mengikut jejak langkah beberapa negara termasuk Australia dengan membawa undang-undang khusus mengenai had umur,” katanya.

Dalam pada itu mengulas mengenai pelesenan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet berkuat kuasa 1 Januari depan, beliau berkata, proses tersebut kini berada di fasa akhir.

“Kita sudah dalam fasa akhir dan berdasarkan kemaskini semalam, ada beberapa platform yang meminta penjelasan tentang satu dua perkara, selain ada yang sedang menyediakan dokumen perundangan. Kesemuanya saya sudah minta untuk diberikan maklumbalas.

“Kita ingin pastikan platform-platform ini berdaftar dan tidak mahu ada satu keadaan di mana kita terpaksa mengambil tindakan tegas berdasarkan undang-undang.

“Kita tidak berhasrat untuk menutup platform-platform ini tapi kita tidak mahu platform ini terus disalah guna oleh penjenayah,” katanya.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya