PETALING JAYA: Lesen Memandu Malaysia (LMM) secara fizikal boleh diperoleh di mana-mana cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi mereka yang berdepan masalah penggunaan lesen memandu digital.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, untuk warganegara yang berhasrat ke luar negara pula, kad LLM fizikal boleh dipohon di cawangan JPJ serta Permit Pemanduan Antarabangsa (IDP) yang diterima pakai di negara-negara penjanji Konvensyen Geneva 1949.
Katanya, setakat ini inisiatif pendigitalan masih berada di fasa pertama membabitkan kumpulan sasar iaitu bagi penggunaan pakai dalam negara.
“JPJ memberikan rebat sebanyak RM5 bagi pilihan cetakan digital di semua saluran termasuk MyJPJ sebagai satu inisiatif menggalakkan kempen digitalisasi dan pelanggan JPJ hanya layak mendapat rebat bagi sekali transaksi pembaharuan saja.
“Kementerian ambil maklum pelbagai reaksi daripada orang awam, bagaimanapun secara keseluruhannya, inisiatif pendigitalan JPJ ini mendapat sambutan dan penerimaan yang baik daripada rakyat berdasarkan muat turun aplikasi MyJPJ di semua gudang penyedia perkhidmatan digital,” katanya dalam jawapan lisan disiarkan di lama web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Ibrahim yang meminta kementerian menyatakan adakah kerajaan berhasrat untuk meneliti penggunaan semula kad fizikal lesen memandu dengan mengambil kira desakan dan rungutan dari rakyat apabila menghadapi masalah di luar negara mengenai lesen memandu digital yang tidak diterima pakai oleh negara luar mengikut standard piawaian antarabangsa.
Tahun lalu, Kementerian Pengangkutan mengumumkan inisiatif pendigitalan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau Cukai Jalan dan Lesen Memandu Malaysia (LMM).
Inisiatif ini dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama membabitkan mod paparan digital e-LKM dan e-LMM bagi kenderaan persendirian individu (warganegara) saja, yang boleh. – UTUSAN