MELAKA: Seorang jurulatih silambam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak perempuan tirinya sejak November lalu.
Bagaimanapun tertuduh berusia 34 tahun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai amanah iaitu bapa tiri didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun dengan cara meraba payudara mangsa.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 9 pagi di sebuah rumah di Taman Perkota Melaka dalam daerah Melaka Tengah pada awal November 2024.
Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap adik mangsa berusia 13 tahun dengan cara membuatkan tangan kanak-kanak itu menyentuh kemaluan tertuduh di lokasi sama kira-kira pukul 2 pagi pada 17 Disember 2024.
Bagi dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama dibaca bersama Seksyen 16 (1) AKSTK 2017.
Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan selain penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain tidak menawarkan jaminan tetapi mencadangkan jumlah RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara.
Pendakwaan turut memohon syarat tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi serta perlu melapor diri kepada pegawai penyiasat sebulan sekali sehingga kes selesai.
Peguam R. Reena Nair merayu jaminan rendah RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan anak guamnya tiada pendapatan tetap kerana bergantung yuran bulanan sebagai jurulatih, selain mempunyai komitmen bulanan yang tinggi.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan bersama syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 28 Januari depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN