KUALA LUMPUR: Seorang jurukimpal dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan memiliki bahan berkaitan dengan kumpulan pengganas Daesh dan perbuatan pengganas, tujuh bulan lalu.
Hakim K. Muniandy menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Feesol Haron,35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berjalan bermula dari tarikh tangkapan 30 Mei lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki satu rakaman audio, 10 video dan lima tangkap layar telefon berkait Daesh dan perbuatan pengganas itu di dalam telefon bimbitnya di perkarangan bangunan syarikat Switch Flow Sdn.Bhd, Kawasan Perindustrian Kempas, Johor pada pukul 1.10 tengahari, 30 Mei lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 130JB(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda dan hendaklah dilucut hak mana-mana bahan tersebut.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim mencadangkan hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan orang awam.
“Tertuduh mempunyai kesalahan lampau pada tahun 2017 iaitu kesalahan yang berkaitan dengan keganasan yang memberi sokongan kepada kumpulan pengganas dan dikenakan hukuman penjara selama lima tahun.
“Mohon mahkamah mengambil kepentingan awam bahawa kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh ini memberikan kesan yang besar kepada negara,” kata Mohammad Fakhrurrazi.
Bagaimanapun, peguam bela, Kanmani Nookaiah yang mewakili tertuduh merayu agar mahkamah memberikan hukuman yang wajar dan paling ringan atas alasan anak guamnya telah menyesal dan insaf.
“Pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos mahkamah. Di dalam kes ini, isteri kepada tertuduh juga telah ditangkap dan berada di mahkamah. Tertuduh mempunyai dua orang anak yang sekarang dijaga dan ditanggung oleh datuk mereka yang tua dan ahli keluarga yang lain.
“Tertuduh benar-benar insaf dan menyesal serta mengharapkan mahkamah memberikan peluang untuk tertuduh memperbaiki dirinya,” kata Kanmani.
Pada 25 Jun lalu, tiga individu termasuk sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.
Selain Muhammad Feesol truut didakwa ialah isterinya, Suhaini Sarwan dan Mohd. Firdaus Kamal Intdzam. – UTUSAN