Jumpa lipas, kotor: Premis makanan diarah tutup 2 minggu 

Jumpa lipas, kotor: Premis makanan diarah tutup dua minggu 

SEORANG anggota penguatkuasa MBPP menunjukkan lipas yang dijumpai di sebuah premis makanan dalam Operasi Kebersihan Establisymen Makanan yang dijalankan di Bukit Jambul, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sebuah premis makanan yang beroperasi di kawasan Bukit Jambul di sini diarah tutup selama 14 hari oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkuatkuasa semalam.

Arahan penutupan itu dibuat gara-gara penemuan sisa makanan yang diurung lipas serta keadaan ruang dapur yang tidak memuaskan susulan satu pemeriksaan yang dibuat dalam Operasi Kebersihan Establisymen Makanan.

Jurucakap MBPP berkata, selain tindakan penutupan premis, sebanyak lima Notis Tawaran Kompaun (NTK) turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang turut melibatkan tujuh buah premis makanan lain itu.

“Antara kesalahan tersebut termasuk meletak dan menempatkan bahan makanan kurang 20 sentimeter (cm) dari paras lantai selain tidak mengambil langkah-langkah yang sesuai bagi mengelak makanan daripada tercemar.

“Kesalahan lain yang turut dikesan ialah keadaan tandas di premis berkenaan yang tidak bersih,” katanya di sini, hari ini.

SEBUAH premis makanan di Bukit Jambul, Pulau Pinang diarah tutup selama 14 hari gara-gara penemuan lipas dan keadaan dapur yang tidak memuaskan susulan pemeriksaan dalam Operasi Kebersihan Establisymen Makanan, semalam.

Terdahulu, operasi yang dikendalikan oleh pegawai dari Unit Tred, Industri dan Establisymen Makanan Zon Selatan MBPP itu bermula kira-kira pukul 10 pagi dan berakhir selepas lebih tiga jam.

Dalam pada itu, jurucakap yang sama memaklumkan, pemantauan serta pemeriksaan mengejut ke atas semua premis-premis makanan khususnya di bahagian pulau, Pulau Pinang akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan premis sentiasa bersih dan mencapai piawaian pemarkahan yang telah ditetapkan.

“Selain daripada memberi khidmat nasihat kepada para peniaga tentang aspek kebersihan, para pegawai MBPP juga memberi peringatan tentang larangan penggunaan penyedut minuman plastik atau straw di semua premis makanan dan minuman yang telah dikuatkuasakan sejak 1 Oktober lalu,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN