Jumlah mangsa banjir 134,175 orang di seluruh negara

Jumlah mangsa banjir 134,175 orang di seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 134,175 orang daripada 40,694 keluarga yang terjejas banjir masih ditempatkan di 630 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan negeri, setakat pagi ini.

Angka itu menunjukkan penurunan berbanding lebih 150,000 mangsa direkodkan pagi semalam membabitkan negeri yang masih dilanda banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis, Johor, Perak, Pahang dan Melaka.

Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mereka yang ditempatkan di PPS ketika ini terdiri daripada 89,767 orang dewasa, 40,990 kanak-kanak dan 3,964 bayi.

Kelantan masih mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 86,211 mangsa daripada 26,833 keluarga yang ditempatkan di 254 PPS yang dibuka di sembilan daerah.

Di Terengganu, mangsa banjir direkodkan seramai 35,716 orang daripada 9,925 keluarga dengan sebanyak 262 PPS melibatkan lapan daerah.

Kedah pula merekodkan seramai 8,430 orang daripada 2,589 keluarga kini ditempatkan di 49 PPS yang dibuka di enam daerah di negeri itu.

Sementara itu, Pahang mengaktifkan 26 PPS di tiga daerah iaitu Raub, Jerantut dan Lipis yang terjejas banjir bagi menempatkan seramai 1,507 mangsa daripada 500 keluarga. 

Di Negeri Sembilan juga menunjukkan penurunan jumlah mangsa terjejas apabila seramai 1,026 mangsa daripada 268 keluarga kini ditempatkan di tujuh PPS yang dibuka di tiga daerah iaitu Tampin Jempol dan Kuala Pilah. 

Namun di Johor, angka banjir meningkat apabila seramai 845 orang daripada 231 keluarga yang ditempatkan di 18 PPS di dua daerah. 

Begitu juga di Perak meningkat kepada 511 mangsa daripada 161 keluarga dengan sembilan PPS diaktifkan di empat daerah iaitu Kinta (351 orang, enam PPS), Kampar (61 orang, satu PPS), Hilir Perak (52 orang, satu PPS), Larut, Matang dan Selama (47 orang, satu PPS).

Melaka dan Perlis pula kekal masing-masing 244 mangsa yang masih ditempatkan di empat PPS dan 225 mangsa di satu PPS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN