KUALA LUMPUR: Hujan lebat di luar kebiasaan bersamaan tempoh enam bulan di Kelantan dan Terengganu dengan jumlah melebihi 1,000 milimeter (mm) adalah punca utama banjir besar melanda di kedua-dua negeri di Pantai Timur tersebut.
Malah berdasarkan rekod Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras sungai dicatatkan di Kelantan dan Terengganu adalah lebih tinggi berbanding banjir besar pada tahun 2014.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, banjir yang melanda pada luruan kedua Monsun Timur Laut (MTL) baru-baru ini membawa jumlah taburan hujan melebihi dua kali ganda di kebanyakan kawasan di Kelantan dan Terengganu.
Pada masa sama, katanya, air pasang besar juga menyumbang kepada peningkatan paras air sungai sehingga berlaku limpahan di kawasan sekitar sekali gus menyebabkan banjir.
“Kelantan mencatatkan bacaan hujan luar biasa di sembilan stesen, termasuk Kusial, Tanah Merah (1,167mm), manakala Terengganu menyaksikan bacaan tertinggi di Kalabe, Besut (1,439mm).
“Hujan lebat di luar kebiasaan, maknanya limpahan hujan itu purata hujan bergantung kepada tempat, ada yang melebihi dua kali ganda daripada purata hujan dan juga keadaan air pasang besar.
“Maknanya sungai dan laut itu dalam keadaan tinggi, jadi bertembunglah dan sebab itu limpahan terjadi,” katanya selepas melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), di sini, hari ini.-UTUSAN