PETALING JAYA: Aktiviti pembelian dan penjualan dadah secara dalam talian terutamanya dalam kalangan golongan belia pada masa kini sangat membimbangkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, modus operandi sindiket dengan mencari dan berkomunikasi dengan keldai dadah atau menerusi aplikasi media sosial mahupun sesawang gelap dengan menggunakan kod nama adalah merisaukan.
“Inilah taktik yang paling merisaukan kita kerana dengan semudah di hujung jari sahaja sindiket dan mangsa boleh membuat pesanan, mengatur cara perjumpaan dan bayaran tidak kira di mana mereka berada.
“Modus operandi ini mudah, cepat dan bebas bagi kedua-dua pihak. Di Malaysia, aktiviti penjualan dan pembelian dadah dalam talian semakin popular dan membimbangkan terutamanya dalam kalangan belia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Razarudin, dadah mula menjadikan Malaysia sebagai tempat transit untuk penyeludupan bahan terlarang itu yang kebanyakannya berasal dari segi tiga emas.
Jelasnya, kedudukan Malaysia yang strategik ini menjadi pilihan sindiket sebagai tempat transit penyeludupan dadah antarabangsa.
Ujar beliau, pihak polis percaya dadah-dadah tersebut dihantar ke negara yang lain seperti Indonesia, Australia dan Singapura.
“Antara strategi sindiket dadah ini adalah melalui pembolosan sempadan dan penyamaran melalui individu atau perkhidmatan kurier sama ada melibatkan udara, air atau di darat.
“Sehingga kini, kesemua jenis dadah syabu yang telah dirampas di Malaysia pada 2023 mencecah 11.2 tan iaitu buat pertama kalinya melebihi 10 tan berbanding tahun sebelum itu.
“Kebanyakan rampasan syabu ini adalah hasil penyeludupan dari segi tiga emas yang masih lagi aktif sehingga kini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, sebanyak 239 makmal dadah haram berjaya dibongkar Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sepanjang tempoh 10 tahun iaitu daripada tahun 2012 sehingga 2023.
Katanya, pihak polis mendapati makmal-makmal dadah haram yang telah berjaya diserbu adalah berskala dapur.
“Ini yang merunsingkan kita kerana peralatan-peralatan makmal ini sangat asas, mudah
diperoleh lalu membuatkan sesuatu makmal haram mudah untuk direplikasi.
“Pertambahan pembongkaran makmal haram ini adalah indikasi bahawa sindiket dadah akan terus-menerus memenuhi permintaan dalam pasaran gelap domestik mahupun luar negara,” ujar beliau. – UTUSAN