SHAH ALAM: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menunggu laporan terperinci insiden renjatan elektrik yang meragut nyawa seorang murid sebuah sekolah agama di Serdang, minggu lalu.
Timbalan Menterinya, Dr. Zulkifli Hasan berkata, pihaknya belum menerima laporan itu daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) setakat ini.
Jelas beliau, penyediaan laporan itu diperlukan bagi memastikan aspek keselamatan sekolah terlibat dan mengelak kejadian sama berulang.
“Tindakan lanjut yang sewajarnya telah diambil berkaitan kejadian itu termasuk daripada pihak polis.
“Saya difahamkan sekolah itu masih ditutup dan kita menunggu laporan penuh daripada JAIS,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) Pengajaran Madani di Universiti Selangor (Unisel) di sini, hari ini.
Program pengajian baharu bagi lepasan siswazah itu dimeterai antara Naib Canselor Unisel, Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman dan Presiden Kolej Dar Al-Hikmah (KDH), Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty.
Pada 19 Disember lalu, seorang murid lelaki tahun enam maut dipercayai akibat renjatan elektrik di sekolah itu. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).-UTUSAN