JPJ keluarkan 5,306 notis pelbagai kesalahan kenderaan perdagangan

JPJ keluarkan 5,306 notis pelbagai kesalahan kenderaan perdagangan

JANA Santhiran melakukan pemeriksaan kenderaan perdagangan dalam Operasi Khas 'Gempur Teknikal' Kenderaan Perdagangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Hentian Rehat dan Rawat Seremban (arah Selatan) di Seremban, hari ini. - UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 5,306 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan terhadap kenderaan perdagangan dalam tempoh lima hari Operasi Khas ‘Gempur Teknikal’ Kenderaan Perdagangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dilaksanakan bermula 25 Disember lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Datuk Jana Santhiran Muniayan berkata, larangan penggunaan kereta motor PG. 1 iaitu penggunaan kenderaan tidak mematuhi peraturan JPJ dan perlu diperiksa lanjut antara kesalahan tertinggi dikesan menerusi operasi berkenaan setakat hari ini.

“Ia melibatkan pengeluaran notis kesalahan sebanyak 2,473 bagi kenderaan barangan dan 16 kesalahan bagi kenderaan perkhidmatan awam dengan jumlah keseluruhan sebanyak 2,489 notis telah dikeluarkan.

“Dalam operasi berkenaan juga, sebanyak 17,729 kenderaan perdagangan telah diperiksa melibatkan 15,770 kenderaan barangan dan 1,959 kenderaan perkhidmatan awam.

“Manakala, jumlah kenderaan diambil tindakan sebanyak 1,787 dengan 1,716 melibatkan kenderaan barangan dan jumlah kenderaan disita pula sebanyak 16 buah,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan di Hentian Rehat dan Rawat Seremban (arah selatan) di Seremban, di sini hari ini.

Jana Santhiran berkata, susulan beberapa siri kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya yang melibatkan kenderaan perdagangan, pihak MOT dan JPJ memandang serius trend kemalangan tersebut dan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas kepada kenderaan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-Kaedah di seluruh negara.

Katanya, menerusi Operasi Khas ‘Gempur Teknikal’ ini, pihak JPJ telah menggerakkan lebih 1,500 anggota yang menumpukan penguatkuasaan terhadap kesalahan kenderaan perdagangan seperti kesalahan lebih muatan, teknikal, dokumentasi, lalu lintas, teknikal pembuatan dan penggunaan kenderaan.

Dalam pada itu, katanya, beliau turut menegaskan pihaknya akan memberi fokus terhadap pemeriksaan berkaitan brek dan tayar kenderaan terlibat dalam operasi tersebut.

“Sekiranya tidak sempurna tindakan drastik akan dikenakan seperti menahan kenderaan tersebut daripada meneruskan perjalanan,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta agar semua pemandu kenderaan berat meletakkan kon atau halangan jalan raya sekiranya kenderaan terpaksa dihentikan di laluan kecemasan akibat kerosakan bagi memberi isyarat kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Sebab baru-baru ini, beberapa kemalangan berpunca daripada sikap pemandu lori tidak menggunakan kon dan meletakkannya di belakang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya