PONTIAN: Orang ramai khususnya masyarakat di daerah ini dijemput memeriahkan Festival D’ Kukup 2.0 (FDK 2.0) yang akan berlangsung pada 5 hingga 8 Disember ini di Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP), dekat sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan berkata, program anjuran Pusat Khidmat DUN Kukup dengan kerjasama Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) serta Pejabat Daerah Pontian itu bertujuan mempromosikan TNJTP sebagai lokasi pelancongan utama sempena Tahun Melawat Johor 2026.
Bagi memeriahkan festival bertemakan ‘Penghujung Benua Asia Destinasiku’, pelbagai acara bakal diadakan seperti pameran oleh agensi kerajaan, jualan produk makanan serta taman tema untuk kanak-kanak.
“Turut diadakan ceramah motivasi dan solat hajat bagi calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sekolah-sekolah di DUN Kukup,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jefridin memberitahu, turut diadakan Semarak Subuh Perdana di Masjid Jamek Pekan Permas pada 6 Disember, J’ Robik Tanjung Piai dan Explorace Taman Negara Tanjung Piai.
“Pertandingan memasak, mewarna untuk kanak-kanak, sukaneka, pertandingan jong tertutup dan kayuhan basikal secara santai turut diadakan,” katanya.
Bagi menambah kemeriahan festival, penganjur juga mengadakan himpunan kira-kira 5,000 penunggang motosikal pada hari terakhir serta cabutan bertuah kepada para pengunjung. – UTUSAN