JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri meneruskan Misi Bantuan Kasih Johor-Palestin dengan menyumbang pelbagai barang makanan dan keperluan yang dianggarkan bernilai RM2 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, persiapan misi kemanusian itu sedang dilakukan bagi memastikan sumbangan tersebut diterima rakyat Palestin yang memerlukan.
Menurutnya, pembungkusan dan persiapan akhir penghantaran bantuan itu sedang dilakukan di Easy Log Air Cargo, Alqastal-Almushatta, Amman, Jordan.
“Sebanyak 10 treler berisi bantuan berkenaan dijangka melintasi sempadan Jordan awal bulan depan atau selewat-lewatnya penghujung Januari ini untuk diagih-agihkan kepada rakyat Palestin.
“Saya teliti dan semak sendiri pembungkusan dan persiapan akhir penghantaran bantuan kepada rakyat Palestin itu di sebuah gudang kargo di Amman, Jordan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Fared berkata, sumbangan tersebut membabitkan RM427,500 barangan makanan panas untuk manfaat 35,000 rakyat Palestin dan 9,000 kotak barangan keperluan kesihatan, wanita dan kanak-kanak (RM753,300).
Bantuan itu termasuk 4,000 pek makanan bagi 20,000 rakyat Palestin (RM700,000) dan 80 khemah ‘Kampung Johor’ (RM119,200).
“Kerajaan Johor berterima kasih kepada rakyat, khususnya semua pihak yang memberikan sumbangan kewangan, idea dan tenaga,” katanya.
Pada Julai lalu, Johor meneruskan inisiatif membantu rakyat Palestin melancarkan kutipan sumbangan menerusi Tabung Kasih Johor-Palestin 2.0 yang digerakkan oleh hampir 3,000 surau dan masjid dengan membuat kutipan khas pada setiap Jumaat. – UTUSAN