JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menyediakan rancangan alternatif bagi memastikan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk yang terjejas akibat banjir dapat menduduki peperiksaan itu, termasuk memindahkan mereka ke sekolah lain.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, pada masa ini hanya 16 calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buloh Kasap, Segamat yang terjejas akibat bencana itu.
“Ketika ini terdapat 16 calon SPM Johor yang terjejas banjir, sembilan daripada mereka ditempatkan di SMK Buloh Kasap manakala selebihnya menetap sementara di rumah saudara mereka.
“Hanya Segamat terjejas ketika ini, namun bagi pelaksanaan ujian lisan SPM, kita boleh mengatur waktu giliran mereka menduduki peperiksaan, jadi tiada masalah ketika ini, proses SPM berjalan lancar,” katanya ditemui selepas meninjau Ujian Lisan SPM di SMK Tasek Utara, di sini hari ini.
Aznan turut memberitahu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah mengenal pasti 669 sekolah yang digazetkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di negeri ini.
Menurutnya, terdapat seramai 43,175 calon menduduki SPM di 306 sekolah di negeri ini bermula hari ini. – UTUSAN