JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri melalui Tourism Johor komited dalam usaha memperkasakan sektor pelancongan dengan pelbagai inisiatif kreatif termasuk penghasilan mural gergasi.
Terbaharu, satu lagi mural gergasi dihasilkan anak jati Johor di sebuah bangunan di Jalan Tan Hiok Nie, di sini memaparkan alat muzik ghazal Melayu Johor yang cukup terkenal di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar berkata, ia merupakan cetusan idea Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk meletakkan lebih banyak identiti baharu berkaitan Johor.
Katanya, Tourism Johor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan memperbanyakkan lagi penghasilan mural di beberapa lokasi strategik di pusat bandar ini bagi menambah tarikan visual buat pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Kita mahu inisiatif kreatif ini menjadi satu tarikan baharu untuk pelancong tempatan mahupun antarabangsa sekali gus menambah keceriaan di pusat bandar ini.
“Ini adalah satu pembaharuan yang tepat, tambahan pula Johor BAHRU bakal menjadi tuan rumah Asean Tourism Forum 2025 pada bulan depan dan menyambut kedatangan Tahun Melawat Johor 2026,” katanya ketika ditemui bersama Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim di Jalan Tan Hiok Nie, di sini hari ini.
Mural gergasi itu dihasilkan oleh pelukis tempatan, Muhammad Nabil Mohd. Azahari memaparkan alat alat muzik ghazal Melayu Johor seperti peti harmonium, tabla, gambus, biola, marakas dan tamborin.
Raven berkata, tiga lagi lokasi lukisan mural di sekitar pusat bandar ini sedang dikenal pasti untuk diperluaskan dengan tema kebudayaan serta makanan Johor.
Beliau menyeru semua pihak untuk bersama menjaga keindahan dan keceriaan semua tempat terutama di kawasan mural bagi mengelakkan vandalisme.
“Ia penting bagi memastikan keunikan mural dapat dinikmati generasi akan datang dan menjadi simbol kebanggaan pelancongan Johor,” katanya. – UTUSAN