ISKANDAR PUTERI: Johor menjadi negeri pertama menggalakkan pelancong mendapatkan perlindungan insurans perjalanan menerusi platform digital bersepadu apabila mereka memasuki negeri ini digalakkan untuk mendapatkan insurans perjalanan menerusi ‘Jomstay Johor’.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri, R. Raven Kumar berkata, dengan adanya insurans perjalanan itu, pelancong dapat merancang perjalanan yang lancar serta ketenangan minda.
“Kempen ini adalah langkah penting ke arah menjadikan Johor sebagai model destinasi pelancongan selamat di Malaysia,” katanya semasa melancarkan platform Jomstay Johor dan Kempen ‘Johor Safe Travel’ di Rimbunan, Medini Mall di sini hari ini.
Raven Kumar berkata, penggabungan teknologi, kemudahan dan keselamatan merupakan penanda atas bagi pelancongan yang bertanggungjawab.
Kempen berkenaan merupakan salah satu persediaan Tahun Melawat Johor 2026 yang menyasarkan 18 juta pelancong.
“Tourism Johor menyasarkan pelancong dari Singapura, Indonesia, China, India, Filipina, Negara Timur Tengah dan Eropah,” katanya.
Beliau berharap Tourism Johor dan Jomstay Digital Teknologi komited untuk memperluaskan keupayaan platform itu dan memupuk kerjasama yang dapat meningkatkan kedudukan negeri ini di peta pelancongan global. – UTUSAN