JKKN mahu angkat 'Uda dan Dara' ke peringkat antarabangsa

JKKN mahu angkat ‘Uda dan Dara’ ke peringkat antarabangsa

PEMENTASAN teater muzikal Uda dan Dara di Padang Akasia Angsana Mall Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) sedia bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seni yang mahu mengangkat naskhah teater ‘Uda dan Dara’ ke peringkat antarabangsa.

Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) JKKN, Rosnan Nordin berkata, naskhah hasil karya Sasterawan Negara, Datuk Dr. Usman Awang itu mempunyai kualiti dan keunikan tersendiri.

Malah, menurutnya, ‘Uda dan Dara’ setanding naskhah ‘Romeo dan Juliet’ hasil karya William Shakespeare.

“Walaupun naskah teater ini telah dihasilkan pada tahun 1950-an, namun pengisiannya masih lagi relevan dengan kehidupan dan budaya masyarakat Malaysia sehingga kini.

“Ia bukan sahaja mengisahkan percintaan lelaki dan wanita yang berbeza darjat, malah turut menceritakan perjuangan masyarakat tempatan, khususnya Melayu dalam mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan kehidupan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyaksikan pementasan teater muzikal berkenaan di Padang Akasia Angsana Mall Johor Bahru, di sini semalam.

Rosnan memberitahu, bukan sahaja nama Usman Awang sudah dikenali di seluruh dunia, malah puisi nukilan Allahyarham juga telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Haslina Usman turut menzahirkan rasa bangga apabila karya-karya nukilan bapanya masih mendapat tempat dalam kalangan penggiat seni, termasuk generasi kini.

“Walaupun karya ini telah berusia lebih 70 tahun, namun ia masih mendapat sambutan menggalakkan termasuk daripada golongan muda, saya amat gembira.

“Isu yang dibawakan masih lagi relevan dengan keadaan sekarang, iaitu status seseorang individu masih ada dalam urusan harian, sehubungan itu kesedaran perlu ada sepanjang masa,” katanya.

Pementasan teater tersebut menghimpunkan seramai 40 tenaga produksi dengan watak utama sebagai Uda dilakonkan Putera Amir, manakala watak Dara oleh Zarina Zainoordin.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN