PETALING JAYA: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) merupakan elemen dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berperanan memberi jaminan keselamatan dan ketenteraman serta memastikan kedaulatan negara kekal terpelihara.
Ini termasuklah memastikan kawalan keselamatan di sepanjang sempadan perairan dan darat negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, agenda memperkukuhkan kawalan sempadan negara menjadi tumpuan khusus dalam Belanjawan 2025 apabila sebanyak RM560 juta telah diperuntukkan bagi tujuan tersebut.
“Ia sudah pasti bertujuan mengekang aktiviti penyeludupan antaranya melibatkan dadah, senjata api, barangan kontraban, barangan dagangan, manusia, haiwan eksotik dan sebagainya.
“Selain itu juga, inisiatif tersebut adalah untuk mengekang kumpulan pengganas menyelinap masuk ke kawasan pedalaman Sabah yang saya pasti akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam ucapan di Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JKDNKA dan Pengarah Jabatan Pengurusan di Bukit Aman, di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Datuk Seri Azmi Abu Kassim dan Datuk Abdul Aziz Abdul Majid masing-masing dilantik sebagai Pengarah JKDNKA Bukit Aman serta Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman baharu.
Razarudin berkata, tugas dan tanggungjawab Azmi menerajui JKDNKA bukanlah mudah.
“Namun saya percaya dengan kredibiliti Datuk Seri (Azmi) untuk mengemudi benteng pertahanan keselamatan negara, disokong oleh keupayaan aset dan lebih 25,600 orang personel meliputi elemen darat, perairan dan udara.
“Amanah ini boleh dilaksanakan dengan sebaiknya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Razarudin turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga JKDNKA di atas kejayaan menerusi pelbagai operasi dan dengan nilai rampasan melebihi RM926 juta bagi tahun 2024.
“Ini adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan dan menjadikan PDRM lebih disegani,” katanya.
Dalam pada itu, Razarudin turut yakin dan percaya, Abdul Aziz yang menerajui Jabatan Pengurusan akan meneruskan agenda sedia ada dan melakukan penambahbaikan yang perlu untuk dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Pengalaman beliau (Abdul Aziz) dalam aspek pengurusan di pelbagai jabatan amat signifikan bagi memacu aspek pembangunan modal insan dan pengurusan organisasi sekali gus menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti dalampenyampaian perkhidmatan PDRM kepada masyarakat,” katanya. – UTUSAN