Jawapan balas saman pemula Bersatu sedang disiapkan - Johari - Utusan Malaysia

Jawapan balas saman pemula Bersatu sedang disiapkan – Johari

JOHARI Abdul (tiga kanan) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir dalam majlis di Jeniang, Gurun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GURUN: Pasukan penasihat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sedang menyediakan jawapan balas susulan permintaan Peguam Negara tentang saman pemula difailkan parti Bersatu, sebelum ini.

Johari berkata, jawapan itu berkaitan keputusan dibuatnya di Parlimen untuk tidak mengisytiharkan kekosongan kerusi lima Ahli Parlimen yang dipecat parti itu.

“Pihak Peguam Negara telah pun meminta saya menyediakan bahan-bahan yang sedang dalam persediaan. Jadi kita sedang uruskan, penasihat-penasihat saya sedang menguruskan respon kepada apa yang kita perlu buat.

“Selepas ini kita tunggu dan lihat mungkin mahkamah akan teruskan atau pun memanggil untuk pengurusan kes dan sebagainya,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Jeniang, hari ini.

Sebelum ini, Bersatu dilapor mengemukakan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menuntut perisytiharan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak mengosongkan kerusi lima Ahli Parlimen yang dipecat parti itu sebagai tidak berperlembagaan.

Saman pemula itu difailkan Setiausaha Kerja Bersatu, Datuk Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Whip parti, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee selaku plaintif pada 15 November lalu melalui firma guaman Tetuan Chetan Jethwani & Company.

Selain Johari, Bersatu turut menamakan lima Ahli Parlimen iaitu Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Zahari Kechik (Jeli); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) sebagai defendan.

Dalam perkembangan lain, Johari berkata, beliau akan mengadakan jelajah ke semua negara ASEAN mulai 13 Januari depan bagi mengadakan pertemuan dengan pihak Parlimen negara terlibat sebagai persediaan untuk Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA).

Tambahnya, ia bagi mendapatkan input-input yang diperlukan untuk memastikan Malaysia mampu menjadi tuan rumah AIPA yang terbaik pada tahun depan.

“Kami telah merancang dan bersedia untuk menguruskan semua acara berkaitan iaitu lima mesyuarat termasuk perhimpunan agung AIPA di Kuala Lumpur pada 1 hingga 6 September tahun depan.

“Manakala mesyuarat lain kita bahagikan ke negeri-negeri termasuk Selangor, Pahang dan Sarawak, supaya tetamu yang hadir itu dapat kita agih-agihkan ke negeri-negeri bagi memastikan mereka bukan sahaja dapat melihat keindahan dan kehebatan Kuala Lumpur tetapi juga di luar Kuala Lumpur,” katanya.

Ujarnya, penganjuran AIPA diyakini akan mendapat sambutan baik dalam kalangan negara ASEAN berdasarkan maklum balas yang diterima pihaknya setakat ini. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya