ISU membabitkan perumahan menjadi fokus utama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin bagi menjalankan proses semak dan imbang serta memberikan input-input demi mencari penyelesaian terbaik untuk kesejahteraan rakyat Pahang.
Beliau berterima kasih kepada Perikatan Nasional (PN) Pahang kerana menubuhkan portfolio kepada semua 17 ADUN gabungan itu di negeri ini dan melantiknya memberikan fokus isu berkaitan perumahan dan kerajaan tempatan.
Menurutnya, beliau akan menjalankan amanah itu bagi memastikan wujud elemen semak dan imbang dalam isu perumahan kerana masih ramai rakyat yang belum mempunyai rumah sendiri.
“Saya akan fokus kepada isu membabitkan anak-anak muda yang memohon rumah dan sudah bertahun-tahun masih belum dapat dari kerajaan negeri terutama yang kurang berkemampuan.
“Tumpuan juga akan saya berikan kepada projek perumahan mampu milik, projek rumah murah, perumahan PR1MA dan skim-skim perumahan kerajaan negeri yang ada.
“Saya menyarankan supaya dikaji semula prosedur pemilihan dan kelayakan pemohon supaya kerajaan telus dalam pemberian tanpa mengira ideologi politik,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Jasri berkata, beliau juga akan memberikan fokus kepada projek Perumahan Generasi Kedua Felda yang banyak masih belum siap di tanah rancangan di negeri ini.
“Saya harap dapat memberi input dan konstruktif kepada kerajaan negeri terutama Exco yang menjaga portfolio perumahan bagi mencari penyelesaian terbaik isu-isu berkaitan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, daripada maklumat diperolehnya, terdapat 10 projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di negeri ini yang kini dikenali sebagai Rumah Pahang berdepan masalah lambat siap dan terbengkalai.
Projek itu, katanya, adalah di Keratong 7, Jengka 11, Kampung Awah, Bukit Sagu, Sungai Retang, Jengka 1, Kota Gelanggi 2, Jengka 12, Jengka 6 dan Bukit Tajau.
Beliau memaklumkan, terlalu banyak masa dibazirkan dan menidakkan keperluan mendesak anak-anak Felda yang begitu memerlukan rumah.
“Jumlah rumah 1,850 buah (membabitkan 10 projek ini) boleh menampung penduduk Felda seramai hampir 10,000 orang sekiranya kita mengambil purata satu keluarga mempunyai lima ahli keluarga,” terangnya.
Justeru, Jasri menyeru kerajaan negeri supaya bertindak segera jika mahu melihat projek perumahan generasi kedua Felda di Pahang berjaya direalisasikan.
“Terdapat juga projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang yang dinyatakan Menteri Besar sebanyak 145 projek. Contoh di Maran sahaja terdapat banyak masih belum siap, belum dimula walaupun sudah diberi lantik pemaju/kontraktor lebih lima tahun. Ada yang dari 2017 dan awal lagi. Saya masih lagi mendapatkan data-data tepat.
BIODATA
LATAR BELAKANG
Dilahirkan pada 23 Mac 1969 di Chenor, Pahang.
Umur: 55 Tahun
PENDIDIKAN
Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA),
University of Derby, UK.
Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan
Elektronik, University of Manchester,
United Kingdom (UK)
Maktab Sains MARA di Kuala Lumpur.
Sekolah Menengah Sains Raub
Sekolah Menengah Abu Bakar Temerloh
Sekolah Rendah Jalan Bahagia Temerloh
POLITIK
Ahli Dewan Negeri Kuala Sentul
Ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Pahang
Ketua Potfolio Perumahan & Kerajaan Tempatan ADN PN Pahang
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu) Bahagian Maran
Pengerusi Biro Pendidikan Bersatu Negeri Pahang
Pengerusi Jawatankuasa Bencana
Bersatu Negeri Pahang
“Rumah Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Chenor sudah 20 tahun, begitu juga projek pembesaran bandar Maran sudah 20 tahun terbengkalai melibatkan pihak berkuasa tempatan,” katanya. –UTUSAN