DAYANG NURFAIZAH meneruskan kelangsungan pop, R&B dan balada menerusi album studio ke-11 berjudul Janji, yang beredar dalam pasaran muzik negara bulan lalu.
Album yang memuatkan 12 lagu baharu dan Hakikat Cinta, ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan diberi nafas baharu oleh Genervie Kam, bergerak sebagai karya mengakhiri penantian pendengar sejak menerbitkan album power balad Dayang Nurfaizah (2017).
Standard dan attitude bermuzik Dayang secara keseluruhan tidak banyak beza dengan album terdahulu yang membawa saya dalam ilham Dayang Sayang Kamu (2004), Dayang 2007, Sayang & Cahaya (2011), serta beberapa lagu baladanya.
Maka, mudah saya merumuskan, Janji adalah penerus kepada asas muziknya sedia ada.
Tetapi, tidak bermakna album ini produk yang bosan kerana sebagai penyanyi yang berniaga dalam genre sebegini sejak 25 tahun lalu, tidak salah Dayang mengekalkan tanda dagang bermuziknya.
Pemberat album ini pastinya Mencintai Cinta (Ajai/Iman Imran), Akhirnya Bahagia (Lee Sze Wan/John Jeeves), Aku (Sir Khan/Rinkarnaen) dan Janji (Senna/Ajin/Kharisma Music) yang bergerak sebagai untaian lagu melankolik dan sentimental sifatnya.
Saya percaya melodinya menjadi taruhan muzik Dayang di pentas-pentas pertandingan selepas deretan hits Seandainya Masih Ada Cinta, Di Pintu Syurga, Lelaki Teragung dan Separuh Mati Ku Bercinta.
Apa yang Dayang perlukan untuk memastikan lagu ini berjaya hanya konsistensi dalam memasarkannya. Bukan sekadar pengisi trek album dan mendengarnya sekali dua.
Jika tidak, maka tidak hairan mengapa beberapa lagu lagi dalam Dayang Nurfaizah (2017) seperti Takdir, Nanti, Usah Dibilang Cinta dan Dalam Diam kurang mendapat sambutan walaupun kesemuanya mempunyai kekuatan tersendiri.
Walaupun Lemah (Hael Husaini) memiliki melodi pahit manis yang mengikat pendengaran, tetapi, saya tidak faham mengapa lagu ini yang dikeluarkan sebagai single pertama?
Saya jangka Mencintai Cinta dipasarkan terlebih dahulu kerana lebih tertarik kepada skop melodi, susunan, dinamik, penjiwaan dan penulisan liriknya yang lebih luas. Lagu ini mempunyai pemberat yang mewajarkan ia harus dipromosi lebih awal.
Saya percaya, Ajai yang berperanan besar membentuk diskografi Dayang selama ini juga mahu lagu itu dikeluarkan sebagai single. Namun, hakikatnya, produksi Dayang menafikan kekuatan dalam Mencintai Cinta sebagai caturan.
Kerjasamanya dengan Aisha Retno menghasilkan Mungkin Ke? menonjolkan sisi muda Dayang. Hal yang sama apabila dia mendapatkan khidmat Yusuff Khan/Adam Armin & Adly Kiddy untuk Dunia Lain, kerana melodinya lahir di atas bunyi kekinian, sekali gus keluar daripada balada yang melelahkan telinga.
Audi Mok/Tysha Tiar/Tilla Hanna membawa saya dalam ilham Inginku Miliki menerusi Tulus. Bersama Shazee Ishak, Audi terus menangkap pendengaran saya dengan dua lagi lagu lagi dihasilkan, Esok Lusa Selamanya dan Di Akhir Dunia kerana muziknya terus berkembang ketika mencapai bahagian korus “sayang, bumiku kian terang” dan “biar bumi digempa durjana.”
Karya Aubrey Suwito sebenarnya mudah diteka kerana apabila beliau menyumbangkan Tak Mahu Berpisah dalam album ini, mengingatkan saya akan Layarlah Kembali serta beberapa lagu dihasilkan untuk Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza seperti Mula dan Akhir serta Membunuh Benci.
Menutup album ini dengan Tetap Di Sini (NJWA), Dayang menyeimbangkan karya dengan satu lagu hanya diiringi bunyi piano. Ia bebas daripada pelbagai elemen muzik yang mengganggu.
Dia hanya bermain emosi yang membuka jalan kepada pendengar lebih menumpukan kepada vokalnya. Tetapi, ini bukanlah antara lagu pilihan terbaik saya.
Sepanjang penerbitan album Melayu klasik Belagu dan Belagu II, Dayang bekerjasama dengan ramai penerbit menampilkan single pop lebih advance menerusi Haram, Gerak Dulu, Sebentar, X Missing U, Sayang Aku Tanya Apa Khabar dan Debu yang membawa Dayang ke satu dimensi muzik berlainan.
Apakah Dayang perlukan kesemua ini sebagai produk baharu untuk dimuatkan dalam album sekaligus menukar haluan muziknya? Tidak.
Di tahap ini, Dayang sudah memperoleh hampir segalanya. Dia tidak perlu pun bersaing dan mengetengahkan album yang keluar daripada ruangan pop balada dan R&B 25 tahun lalu. Sebab itu dia kembali ke asasnya.
Dia tidak perlu sehingga tahap bekerjasama dengan Dolla, Yonnyboii dan seangkatannya untuk mencetus gerakan muzik baharu kerana asas sokongan muzik Dayang lebih dua dekad lalu sudah cukup kukuh.