Jangan undi penyanyi sebab cantik, tampan - Ziana Zain - Utusan Malaysia

Jangan undi penyanyi sebab cantik, tampan – Ziana Zain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ziana Zain, 56, mengajak masyarakat supaya mengangkat penyanyi yang betul-betul berbakat untuk diketengahkan dalam industri seni tanah air.

Ziana yang berpengalaman lebih tiga dekad dalam bidang tersebut berkata, meskipun rupa dan penampilan penting, bakat dan kebolehan nyanyian tetap menjadi aspek yang diutamakan dalam memilih penyanyi yang benar-benar layak.

“Contoh bagi pertandingan One In A million (OIAM) ini, kami yang menjurikan program ini benar-benar berharap penonton mengundi peserta yang betul-betul boleh menyanyi.

“Pengundi harus celik telinga dan mata, undilah penyanyi yang berpotensi. Jangan undi hanya disebabkan artis itu cantik dan tampan.

“Kami selaku juri program nyanyian bergelut untuk memilih penyanyi yang betul-betul bagus. Namun, kami tidak mampu kawal pilihan pengundi.

“Disebabkan itu saya berharap masyarakat undi calon pertandingan nyanyian yang berbakat,” katanya.

Ziana berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas konsert minggu kedua OIAM yang diadakan semalam.

Program tersebut yang disiarkan secara langsung di TV3 semalam menyaksikan penyingkiran empat peserta termasuk Trio XL, Dhania, Erfarina dan Aniq Iffat yang berada pada kedudukan tercorot, semalam.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Anggapanmu dan Madah Berhelah itu dalam masa yang sama menasihatkan kepada peserta yang tersingkir agar tidak putus semangat untuk meneruskan hasrat mereka menjadi penyanyi.

“Ramai penyanyi tidak bernasib baik dalam pertandingan nyanyian namun kerjaya nyanyian mereka lebih menyerlah, menonjol dan bertahan lama.

“Kita harus percaya pada rezeki yang ditentukan untuk kita. Jadi, nasihat saya, jangan sesekali berputus asa,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya