ALOR SETAR: Cadangan untuk membatalkan musim penanaman padi perlu diperhalusi dan tidak boleh dilaksanakan terburu-buru kerana dibimbangi memberi kesan terhadap kadar tahap sara diri (SSL) pertanian negara.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, apa yang lebih perlu diberi perhatian kerajaan ketika ini adalah pemberian bantuan segera agar pesawah kembali memiliki modal untuk melaksanakan tanaman semula.
Tambahnya, tidak salah untuk kerajaan memberi bantuan tanpa mengisytiharkan darurat kerana petani sentiasa bersedia melaksanakan semula tanaman padi jika mereka dibantu berbuat demikian.
“Kalau isytihar darurat dan batalkan musim, mungkin SSL akan terjejas. Sekarang ini India dan Vietnam memang benarkan padi mereka dieksport keluar tetapi kalau tiba-tiba negara itu laksana semula larangan eksport seperti sebelum ini, itu mungkin berbahaya kepada negara dalam keadaan petani kita sendiri tidak menghasilkan padi kerana pembatalan musim.
“Kita menyambut baik sebarang cadangan untuk membantu para pesawah tetapi dalam hal ini, banyak perkara perlu diperhalusi. Bagi saya adalah lebih baik kerajaan beri tumpuan untuk segerakan bantuan kepada petani, seperti yang pernah kami minta sebelum ini.
“Janganlah tunggu sampai hampir setahun selepas bencana baru bantuan tabung bencana tanaman padi (TBTP) hendak sampai. Kalau disegerakan, insya-Allah petani akan segera usahakan bendang mereka semula kerana jiwa pesawah ini memang sangat komited dengan usaha penanaman padi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mempertimbang untuk membatalkan musim penanaman padi ketika ini atau mengisytiharkan darurat kepada petani yang terjejas akibat banjir.
Menurut Mohd. Ashraf, petani terlibat juga perlu menerima bayaran pampasan atau wang ihsan ‘batal musim’ dengan minimum RM1,200 bagi setiap satu relung atau 0.29 hektar sawah padi kerana mereka kini mengalami kerugian kos input selain kehabisan modal pusingan untuk meneruskan musim penanaman padi.
Mengulas lanjut, Rashid berkata, perkara lain yang perlu diberi perhatian adalah pelaksanaan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) kepada pesawah yang ketika ini terdapat beberapa perkara tidak jelas dalam kalangan mereka terutamanya membabitkan sawah yang diusahakan secara sewa.
“Ketika ini ramai yang merungut kerana pelaksanaannya masih terumbang-ambing. Kerenah birokrasinya juga banyak terutamanya kepada mereka yang mengusahakan bendang secara sewa.
“Mungkin kerajaan boleh wujudkan perbincangan dan kerjasama antara bank terlibat dengan pertubuhan peladang kawasan (PPK) untuk memudahkan urusan. Segala data berkaitan pesawah sudah ada di PPK,” katanya. – UTUSAN