KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan untuk tidak mengetepikan mereka dalam pemberian bantuan akibat bencana banjir.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Perdana Menteri perlu menunjukkan belas ihsan dengan memberi bantuan kewangan atau peruntukan kepada semua wakil rakyat di kawasan yang terjejas dengan bencana banjir secara terus.
Kata beliau, wakil rakyat merupakan pemudah cara untuk kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir dan mereka juga merupakan pihak lebih tahu mengenai permasalahan yang berlaku serta dihadapi rakyat di bawah.
“Kalau kita tidak beri bantuan kepada ahli Parlimen, banyak perkara yang boleh diselesaikan dalam tempoh seminggu akan berlarutan sebulan kerana karenah birokrasi. Jika wakil rakyat (diketepikan), macam mana kita nak bantu rakyat yang terkesan?
“Kerajaan sendiri akan mendapat nama buruk. Kita tidak mahu berpolitik, kita mahukan keadilan buat semua rakyat yang terkesan akibat banjir,” katanya semasa sidang akhbar di Pusat Media, Bangunan Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, negeri-negeri di Pantai Timur diramal mengalami banjir gelombang kedua bermula 8 hingga 14 Disember ini berikutan luruan monsun yang membawa hujan lebat serta angin kencang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) melaporkan, berdasarkan analisis model-model cuaca terkini, penumpuan angin dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu bermula hari ini sehingga awal pagi 4 Disember.
Sementara itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mempersoal tindakan pihak kerajaan yang tidak melibatkan wakil rakyat daripada blok pembangkang dalam isu banjir.
“Dahulu semasa saya menjadi menteri, saya bagi ruang kepada wakil rakyat yang antaranya Ahli Parlimen Rantau Panjang iaitu kawasan yang selalu terkena banjir. Saya buat semua urusan melalui wakil rakyat yang berkenaan.
“Kenapa sekarang tidak dibuat melalui wakil rakyat? Apakah kami ini nak dinamakan sebagai wakil rakyat kelas kedua? Peruntukan yang dipohon adalah RM1 juta, ia khusus untuk mereka yang dilanda banjir dan sebagainya.
“Kalau tidak bagi juga, saya tidak tahulah (kerana) saya sudah mohon. Hari ini secara terbuka kami memohon supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan pertuntukan ini untuk membeli makanan dan peralatan,” jelasnya.-UTUSAN