PETALING JAYA: Dipilih untuk menjadi juri tetap program realiti, One In A Million (OIAM), penyanyi terkenal, Ziana Zain mahu mengambil peluang untuk membimbing pelapis baharu menjadi artis yang bermutu.
Menurut Ziana, sikap disiplin dan menjaga hubungan baik dengan orang sekeliling merupakan rencah yang sangat penting bagi seseorang penyanyi itu untuk kekal lama dalam industri muzik tanah air.
“Kami diberikan peluang untuk menjadi juri bukan hanya untuk menilai suara dan bakat. Tapi, kami juga ingin berkongsi pengalaman dan mendidik mereka untuk menjadi penyanyi yang bagus.
“Sebagai contoh, macam mana pembawakan diri mereka ke dalam industri ini, hubungan baik mereka dengan orang ramai dan peminat. Itu sangat penting terutamanya disiplin.
“Sewaktu saya mula menyanyi pun saya belajar kriteria setiap penggiat industri untuk kekal lama dan digilai ramai. Kami ingin sulamkan kriteria itu dalam diri peserta,” katanya.
Ziana berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media program realiti OIAM yang bertempat di JIOSpace, Petaling Jaya, semalam.
Selain mengadili dan mengasah bakat peserta program realiti tersebut, penyanyi Madah Berhelah itu mengakui ada beberapa pelapis baharu sudah mula lupa diri selepas nama mereka melonjak naik.
Bagaimanapun, Ziana menyifatkan sikap lupa diri dan hidung tinggi itu tidak dapat membantu seseorang penyanyi kekal lama dalam industri.
“Ramai penyanyi baru sekarang yang sudah lupa diri. Kita tidak mahu benda itu berlaku. Saya dan Yusry juga masih belajar dengan bakat muda. Orang lama belajar dengan pelapis baru.
“Begitu juga kita mahu pendatang baru ambil pengalaman daripada kita. Jangan ada yang hidung tinggi. Saya pernah bekerja dengan orang baru ini. Baru popular dah hidung tinggi contohnya, ramai,” jelasnya.
Tambah Ziana, dia dan penyanyi yang sama era dengannya beruntung kerana masih kekal lama dalam industri muzik selepas dibentuk dengan nilai-nilai murni sedemikian suatu ketika dahulu.
“Orang selalu tanya generasi kami boleh kekal lama dalam industri. Apa yang saya boleh katakan kami beruntung sebab ada lagu yang berkualiti.
“Kami juga beruntung dihormati peminat sebab imej kita yang pandai menjaga hubungan baik dengan semua pihak termasuklah syarikat rakaman dan rakan media. Tidak rugi jaga disiplin dan hubungan baik dengan orang sekeliling,” katanya.
Selain Ziana, Datuk Yusry Abdul Halim dan penyanyi Indonesia, Cakra Khan juga merupakan juri tetap bagi program realiti yang dikendalikan oleh Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy tersebut.
Semalam, majlis sidang media tersebut turut menyaksikan 100 peserta terbaik yang berjaya melayakkan diri ke pusingan seterusnya. -UTUSAN