Jambatan tenggelam, murid guna rel kereta api ke sekolah

Jambatan tenggelam, murid guna rel kereta api ke sekolah

JAMBATAN Kampung Batu 6, Gua Musang, Kelantan ditenggelami Sungai Galas selepas berlaku hujan berterusan.-IHSAN PENDUDUK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kira-kira 20 murid dan pelajar dari Kampung Batu 6 di sini terpaksa menggunakan laluan kereta api untuk ke sekolah selepas  jambatan besi yang menjadi jalan perhubungan ditenggelami banjir.

Hujan lebat berterusan sejak petang kelmarin hingga pagi semalam dikatakan menjadi punca  jambatan besi yang menghubungkan Kampung Batu 6 dan Kampung Batu 5 itu tenggelam. 

Seorang penduduk, Suzili Sulaiman, 49, berkata, Sungai Galas mula menenggelamkan jambatan itu sejak malam semalam kerana hujan lebat. 

Katanya, dia terpaksa membawa anaknya melalui laluan kereta api untuk menghantarnya ke sekolah di Bandar Gua Musang.

“Saya terpaksa membawa anak-anak melalui laluan kereta api untuk merentasi Sungai Galas dan berjalan kaki ke kereta yang diletakkan di seberang sungai.

“Kami tiada pilihan jika tidak menggunakan laluan kereta api ini, anak-anak tidak dapat ke sekolah. Salah seorang daripada anak saya bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tidak lama lagi,” katanya.

Suzili berharap jambatan baharu yang kini dalam pembinaan dapat disiapkan secepat mungkin atau mengikut jadual ditetapkan.

“Kami lega apabila melihat pembinaan jambatan baharu untuk penduduk Batu 6 sudah dimulakan dan berharap dapat disiapkan mengikut jadual yang tetapkan.

“Pembinaan jambatan ini akan memberi keselesaan kepada penduduk di sini dan beberapa kampung berhampiran termasuk penduduk di Kampung Serian sekiranya siap nanti,” katanya

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN