BAGAN SERAI: Cuaca sejuk menjadi cabaran buat dua rakyat Malaysia yang berjalan ke Mekah untuk menunaikan haji.
Setakat semalam, dua sahabat itu, Mohamad Al-Bukhari Ellia, 26, dan Mohamad Azizul Abdullah, 34, berada di Punjab, India dan hanya 177 kilometer menuju ke sempadan Pakistan.
Mereka yang memulakan perjalanan di India dari New Delhi ke Punjab berkata, sepanjang perjalanan, mereka mengharungi cuaca sejuk dengan suhu 5 hingga 10 darjah celsius.
Katanya, mereka dimaklumkan oleh penduduk tempatan di Punjab, suhu sejuk itu akan berterusan hingga ke Pakistan.
“Selain suhu sejuk, hujan lebat juga menjadi cabaran buat kami dan ini menyebabkan kami terpaksa menaiki kenderaan di beberapa lokasi yang mengalami hujan lebat.
“Malah akibat cuaca ekstrem, kami mengalami selsema,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mereka berkata, jarak perjalanan dari Punjab ke sempadan India-Pakistan tidak jauh tetapi mereka masih menunggu kelulusan visa untuk memasuki Pakistan.
“Kelulusan visa untuk memasuki Pakistan dijangka diperoleh antara 6 hingga 8 Januari ini. Sementara menunggu kelulusan visa, kami mula berjalan kaki dari Punjab ke sempadan Pakistan,” katanya.
Menurutnya, untuk mudah membawa barangan keperluan yang mereka bawa, mereka membeli sebuah troli besar berharga RM733 di Haryana, India.
Katanya, ini kerana troli yang mereka gunakan sebelum ini rosak pada bahagian roda.
“Ketika ini nasib menyebelahi kami apabila sebuah lori membantu membawa troli yang rosak ke ke tempat pembaikan. Kami bermalam di sebuah masjid di Punjab sementara menunggu troli siap dibaiki.
“Kami tetap bersemangat meneruskan misi kembara mereka ke Mekah walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang perjalanan,” katanya.