PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memandang cadangan kerajaan negeri untuk mewajibkan pengusaha premis makanan dan minuman memiliki sijil halal sebelum memperbaharui lesen perniagaan sebagai usaha promosi positif.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, langkah tersebut diyakini dapat meningkatkan bilangan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di kawasan pentadbiran masing-masing selain memastikan kualiti dan piawaian halal terus dipatuhi
Katanya, Jakim bagaimanapun menekankan pentingnya penjelasan menyeluruh oleh PBT mengenai pelaksanaan dasar baharu ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan pengusaha dan orang ramai.
“Kami berharap kerjasama strategik yang berterusan antara JAKIM, Majlis atau Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN atau JAIN) dan agensi pembimbing akan terus menggalakkan pengusaha memohon SPHM.
“Langkah ini bukan sahaja menjamin kualiti produk dan perkhidmatan tetapi turut memperluas pasaran perniagaan pemegang sijil halal,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Sirajuddin berkata, permohonan SPHM bagaimanapun kekal bersifat sukarela dan terbuka kepada mana-mana pengusaha yang bersedia mematuhi keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal.
Katanya, langkah tersebut sejajar dengan Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) yang mengawal semua perkara berkaitan halal di negara ini.
“Dasar sedia ada ini disokong oleh keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 September 2024 yang bersetuju mengekalkan permohonan SPHM secara sukarela.
“Dasar tersebut sekali gus memberi nilai tambah kepada pemegang sijil melalui komitmen mematuhi standard pensijilan halal serta meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk atau perkhidmatan mereka,” katanya. – UTUSAN