KOTA BHARU: Jajahan Jeli kembali dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan menyebabkan seramai 19 mangsa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) sejak malam tadi.
Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ketika dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan, semua mangsa itu adalah daripada empat keluarga.
Bagaimanapun menurutnya, situasi keseluruhan banjir di negeri ini semakin baik apabila berbaki 23,388 mangsa masih berlindung di 51 buah PPS.
“Daripada jumlah itu, Pasir Mas masih menempatkan seramai 9,468 mangsa diikuti Tumpat (13,879), Kuala Krai (22) dan Jeli (19),” ujarnya.
Sekretariat Pengurusan Bencana APM memberitahu, Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat masih melepasi paras bahaya, sementara Sungai Golok di Rantau Panjang kembali ke tahap amaran. – UTUSAN