YA, Cik Bunga tahu, program Famili Duo musim keempat yang bersiaran di TV3 telah pun tamat pada minggu lalu. Juara pun telah diumumkan dengan menyaksikan duo Shiha bersama kakaknya, Eida Zikir tersenyum puas memenangi program itu.
Tetapi, ada perkara yang Cik Bunga hendak tegur juga demi prestasi dan kelancaran program tersebut jika ada lagi diadakan pada tahun depan. Ini terutama daripada aspek pengacaraan.
Umum tahu program berkenaan dikelolakan oleh Janna Nick. Bukanlah Cik Bunga kata dia tidak bagus, tetapi ada kelemahan yang harus diperbaiki Janna jika benar tahun depan bakal ada lagi program yang sama.
Ini Cik Bunga terima daripada beberapa rakan industri juga termasuk individu penting dalam pelaksanaan program berkenaan. Ada yang mengeluh, Janna seakan tidak mengambil peduli teguran orang mengenai cara pengacaraannya di pentas itu.
Terlalu rancak mengenakan juri, mencuri masuk mencelah antara komen yang dilontarkan, semuanya seakan menyakitkan mata dan telinga yang menilai. Itu belum lagi masuk bab buat lawak tak berapa mengena.
Bukan kata dia jenis degil tidak mahu dengar teguran, tetapi agaknya bila dia cuba buat perubahan, ada yang kelihatan tidak mengena. Mungkin juga sebagai pengacara, Janna masih belum benar-benar cukup ilmu untuk mengendalikan program dengan baik dan bermutu.
Itu antara pandangan yang Cik Bunga terimalah. Tetapi ada sekali Cik Bunga tonton Famili Duo, ada betul juga apa yang diperkatakan oleh teman industri seni kita itu. Banyak kelemahan yang Janna perlu baiki. Ini bukan satu kritikan untuk menjatuhkan.
Anggap ini sebagai teguran baik bagi meningkatkan lagi kualiti pengacaraan Janna. Biasalah, adakala mungkin kerana terlalu teruja atau gementar di pentas pun boleh membawa kepada punca keadaan di pentas jadi sedikit kacau-bilau. Betul tak?