KUALA LUMPUR : Meskipun mempunyai jadual masa yang padat, Datuk Wira Dr Azizan Osman mencari jalan bagi menyediakan dirinya untuk sentiasa ke hadapan dalam memikul tanggungjawab yang lebih besar.
Baginya, aspek kepimpinan merupakan antara kunci penting bagi seseorang usahawan mampu membina bisnes berjaya.
Menurut Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) itu, tanpa kepimpinan yang mantap, sukar untuk sesebuah bisnes melonjakkan ke tahap lebih tinggi.
Mentor usahawan terkenal negara itu kini dinobatkan menerima pengiktirafan dalam dunia akademik selepas menerima pelantikan sebagai profesor di Innovative University College (IUC) berkuat kuasa pada 15 Disember ini.
“Alhamdulillah saya akan gunakan peluang ini dengan sebaik bagi menyumbang kembali kepada pelajar-pelajar dan IUC agar terus maju ke hadapan.
“Saya yakin dapat memberikan sumbangan kepada IUC berdasarkan pengalaman dan pendidikan yang ada, terutamanya dalam bidang keusahawanan yang merangkumi aspek kepimpinan, penjenamaan, pemasaran dan model perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu Azizan baharu selesai membimbing secara intensif sekitar 200 usahawan jutawan RichWorks dalam Inner Circle Meeting (ICM) di Kuching bermula Selasa lalu.
Selain Azizan, Pengarah Eksekutif RichWorks, Hasnita Ahmad: Ketua Pegawai Operasi, Suley Nordyana dan Ketua Pegawai Perniagaan, Radz Mohd. pula dilantik sebagai Profesor Adjung di IUC bagi berkongsikan kepakaran dan pengalaman mereka dalam menguruskan organisasi dan perniagaan kepada pelajar-pelajar.
Azizan menerusi RichWorks turut berkongsi kejayaan luar biasa usahawan dibawah pimpinannya apabila terus menunjukkan momentum peningkatan pesat walaupun dalam keadaan ekonomi yang suram.
Malah katanya lagi, jumlah jualan keseluruhan perniagaan dalam bimbingan Titanium meningkat dari RM2.3 bilion pada 2023 kepada RM2.6 bilion pada tahun ini.
“Sebanyak 114 perniagaan di bawah bimbingan RichWorks, termasuk PTTI, LaFleur Beauty, Him Wellness, Destina1, The Raw dan Efferty mengalami pertumbuhan antara 6 peratus hingga 2,368 peratus pada tahun ini berbanding 2023.
“Manakala lebih 50 perniagaan berjaya mencapai jualan lebih RM10 juta setahun hingga RM500 juta setahun,” kongsinya yang baru sahaja selesai membimbing secara intensif sekitar 200 usahawan jutawan RichWorks dalam Inner Circle Meeting (ICM) di Kuching bermula Selasa lalu.
Sepanjang tahun ini, Azizan telah bertemu dengan ribuan usahawan di seluruh negara melalui program Bina SME.
Beliau mendapati kebanyakan pemilik bisnes menghadapi cabaran dengan jualan yang tidak meningkat atau menurun. Namun, Azizan menekankan bahawa dengan persediaan yang betul, usahawan mampu mencapai pertumbuhan.
“Sebenarnya, pelbagai faktor yang menyebabkan mereka berdepan situasi itu. Namun, dengan persediaan betul, seseorang usahawan itu mampu menyaksikan pertumbuhan satu hingga empat digit,” jelasnya.
Tambahnya lagi, tahun 2025 akan lebih mencabar bagi pemilik perniagaan berbanding tahun ini.
“Saya boleh katakan 2025 umpama letusan gunung berapi berbanding pasir jerlus yang berlaku tahun ini. Tanpa persediaan dan tindakan yang tepat, perniagaan mungkin sukar bertahan atau bahkan gagal,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azizan berkata, untuk membantu usahawan menghadapi cabaran akan datang, RichWorks merancang untuk meneruskan jelajah Bina SME di lebih banyak lokasi seluruh Malaysia.
“Kami akan melancarkan Bina SME 2025, kesinambungan program lalu untuk usahawan terpilih yang akan bermula awal tahun depan” jelasnya.