JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) merampas 989 produk vape, termasuk berbentuk permainan dan makanan bernilai RM34,158.
Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Mohtar Pungut berkata, kesemua produk berkenaan dirampas menerusi Operasi Khas Vape Negeri Johor dijalankan pihaknya, kelmarin dan semalam.
Katanya, JKNJ turut mengeluarkan 11 notis kesalahan di bawah Seksyen 47 Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852).
“Di Johor, penjualan rokok elektronik atau vape adalah dilarang di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian sekaligus menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak yang melanggarnya.
“Sehubungan itu, JKNJ menggesa pemilik premis dan pengusaha perniagaan agar tidak menjual vape atau rokok elektronik di Johor terutamanya berbentuk permainan dan makanan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Sementara itu, Dr. Mohtar memberitahu, pihaknya akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan Akta 852 bermula 1 Oktober lalu.
“Operasi ini bertujuan memastikan pematuhan terhadap larangan promosi, pengiklanan dan pembungkusan serta pelabelan bahan merokok jenis pod pakai buang yang berbentuk permainan dan makanan.
“Sehingga kini, lebih 6,097 premis telah diperiksa dan sejumlah 1,021 notis kesalahan telah dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan yang boleh dikompaun,” jelasnya – UTUSAN