Jaa Suzuran pernah jadi ‘najis’, 26 jam melekat main ‘game’ - Utusan Malaysia

Jaa Suzuran pernah jadi ‘najis’, 26 jam melekat main ‘game’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Jaa Suzuran, mendedahkan pernah menggilai permainan video elektronik dan melakukan sesi penstriman langsung sehingga 26 jam tanpa henti. 

Jaa atau  Mohamad Faizal Ahmad, 30, kerap melakukan sesi penstriman ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua tahun lalu sehingga dipanggil ‘najis’ iaitu gelaran yang diberikan kepada pemain yang memberikan dedikasi tinggi terhadap sukan elektronik. 

“Paling lama saya pernah main game ialah 26 jam tanpa henti. Saya akan buat siaran langsung semasa bermain dengan niat mahu menghiburkan orang ramai. Tambahan pula ketika itu kita semua tidak boleh keluar rumah, jadi penonton memang ramai.

“Saya pernah dapat 8,000 penonton untuk satu sesi. Adakalanya, saya bukanlah mahir sangat, tapi macam saya kata tadi, anggap saya ia hiburan. 

“Bila sudah main game, makan pun sudah tidak ingat sebab seperti sudah berada dalam dunia sendiri,” katanya. 

Jaa ditemui Utusan Malaysia, di sesi fotografi pelakon filem ‘Game of Life’ baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai itu, Jaa mengakui sudah melaburkan wang yang agak banyak demi memenuhi cabaran daripada penonton. 

“Saya tidak nafikan pernah laburkan banyak duit untuk beli koleksi dalam game. Berapa jumlahnya, saya pun tidak boleh kata. Kadang ada penonton yang buat cabaran. Bak kata istilah para pemain game saya sudah jadi ‘najis’. 

“Namun saya tidak pula terfikir mahu jadi profesional. Awal-awal main game, memang boleh senyum. Tapi kalau sudah kalah, senyuman pun hilang. Silap-silap, orang yang komen pun terkena tempias amarah. 

“Tapi jangan contohi perkara itu, bila kita lakukan siaran langsung, kena tunjukkan contoh yang baik,” ujarnya. 

Bagaimanapun, Jaa kini sudah jarang bermain permainan video kerana memberi tumpuan kepada perniagaan minyak wangi yang diusahakan dalam talian.

“Sekarang saya sudah jarang streaming sebab beri fokus kepada perniagaan minyak wangi. 

“Saya kini usahakan perniagaan dari Kelantan dan jual di media sosial. Alhamdulillah, kita sudah lancarkan jualan dua kali dan sudah laris terjual,” katanya.

Terkini, Jaa bakal membintangi sebuah filem yang mengangkat tema perjalanan para pemain sukan elektronik di Malaysia. 

Penerbit hubungi saya dan tawarkan untuk berlakon dalam filem ini. Tambahan pula pengarahnya ialah Syafiq Yusof.

“Sepanjang berlakon selama dua bulan, saya banyak belajar daripada pelakon lain seperti Imran Aqil, Hun Haqeem, Syafie Naswip, Wafiy Ilham dan ramai lagi. Persembahan lakonan mereka sangat mengagumkan. 

“Persahabatan kami semua sangat erat sampai kadangkala saya mahu sahaja minta kepada pengarah ulang semula penggambaran kerana rindukan suasana di set,” selorohnya.

Filem Game Of Life akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 23 Januari 2025. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya